HARI ini, landskap mencari jodoh telah berubah sepenuhnya. Kita tidak lagi hanya bergantung kepada usulan keluarga atau perkenalan rakan terdekat. Dengan hanya satu leretan skrin, dunia luar siber sedia menghubungkan kita dengan ribuan calon pasangan melalui platform mencari jodoh dalam talian.
Di alam maya, sesiapa sahaja boleh mencipta identiti yang sempurna. Profil dihiasi gambar menarik, status kerjaya hebat, serta bait-bait bicara manis sering kali menjadi jerat paling ampuh. Harus diingat, profil digital bukanlah cerminan personaliti sebenar dan kata-kata manis bukanlah bukti kejujuran.
Bagi golongan muda, usahakan diri untuk tidak mencari pasangan semata-mata kerana takut kesunyian atau tertekan melihat rakan sebaya sudah mendirikan rumah tangga. Jangan biarkan dambaan terhadap perhatian membuatkan kita terlalu cepat menaruh kepercayaan.
Kenali hati budi secara perlahan-lahan dan paling utama, jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi atau butiran kewangan dengan individu yang baru dikenali..
Kepercayaan tidak perlu dipaksa. Ia dibina melalui masa, kejujuran dan tindakan. Paling penting, berhati-hati apabila hubungan yang masih baharu mula melibatkan wang, maklumat akaun bank, pas pengesahan transaksi (OTP), dokumen peribadi atau permintaan yang membuatkan kita tidak selesa.
Cinta tidak sepatutnya menjadi tiket untuk seseorang mengawal atau mengambil kesempatan terhadap seseorang.
Platform mencari jodoh hanyalah medium perkenalan. Tiada platform yang mampu menjamin seseorang itu benar-benar ikhlas. Kita sendiri perlu bijak menilai. Perhatikan bendera merah seperti terlalu cepat mengaku sayang, cerita yang tidak konsisten, enggan mengesahkan identiti, suka mengawal, meminta wang atau mahu hubungan dirahsiakan daripada keluarga.
Mencari jodoh bukanlah sebuah perlumbaan yang mempunyai tempoh penamat. Tidak perlu terburu-buru mengejar fasa perkahwinan hanya kerana tekanan sosial.
Sebaliknya, mengambil masa lama untuk mengenali seseorang jauh lebih baik daripada membuat keputusan tergesa-gesa yang akhirnya mengundang derita.
Sekiranya perkenalan dalam talian beralih ke fasa pertemuan fizikal, pilihlah tempat awam yang terbuka dan pastikan ahli keluarga atau rakan terdekat dimaklumkan tentang pertemuan tersebut.
Kita bebas mencari cinta di alam maya tetapi jangan sesekali meninggalkan akal sihat di luar talian.
Sebelum leret, fikir.
Sebelum percaya, semak.
Sebelum sayang, kenal.
Ingatlah, tidak semua padanan di skrin telefon itu perlu berakhir di jenjang pelaminan. Carilah cinta yang membawa bahagia, bukan cinta yang membawa bencana. –UTUSAN
ILINADIA JAMIL
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Alor Gajah











