Adab teras kemuliaan insan

Adab teras kemuliaan insan

ILMU dan akhlak perlu seiring untuk melahirkan insan yang cemerlang dan bermanfaat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG dahulu hidup dalam serba kekurangan dan tidak ramai berpeluang menuntut ilmu hingga ke peringkat tinggi. Ada yang hanya mengenal huruf dan angka secara asas, malah sebahagiannya tidak pernah bersekolah. Namun, mereka mempunyai pengetahuan luas tentang kehidupan seperti bercucuk tanam, menternak, mencari rezeki dan mengurus keluarga.

Pengetahuan itu diwarisi melalui pengalaman, pemerhatian serta tunjuk ajar generasi terdahulu.

Walaupun tidak memiliki ijazah atau gelaran akademik, masyarakat dahulu amat menitikberatkan adab dan sopan santun. Anak-anak diajar menghormati ibu bapa, guru, orang tua dan jiran. Tutur kata dijaga, suara tidak ditinggikan dan kesalahan diakui dengan permohonan maaf.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nilai tersebut menjadi asas keharmonian hidup bermasyarakat.

Keadaan kini jauh berbeza. Kemajuan pendidikan membuka ruang untuk masyarakat mencapai tahap pengajian lebih tinggi, termasuk diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah.

Pencapaian ini sememangnya membanggakan. Namun, pendidikan tinggi tidak semestinya menjamin akhlak yang baik. Masih ada individu berpendidikan yang gagal mengawal pertuturan dan tingkah laku, termasuk membentak guru, menghina orang lain atau mempertikaikan nasihat secara kasar.

Lebih membimbangkan apabila perbuatan itu dirakam dan disebarkan melalui media sosial untuk mendapatkan perhatian.

Media sosial sepatutnya menjadi wadah menyebarkan ilmu, kebaikan dan hubungan sesama manusia, bukannya medan mempermalukan orang lain atau menunjukkan keangkuhan.

Jumlah tanda suka dan sokongan bukan ukuran kepada kebenaran sesuatu tindakan. Perbuatan tidak beradab tetap salah walaupun mendapat perhatian ramai.

Ilmu tanpa adab dan kawalan diri tidak membawa manfaat yang sempurna. Ilmu seharusnya menjadikan seseorang lebih bijaksana, rendah hati serta berhati-hati dalam membuat pertimbangan.

Pengetahuan juga perlu digunakan untuk membantu dan membimbing, bukannya merendahkan orang lain. Begitu juga pangkat dan kuasa yang merupakan amanah, bukan lesen untuk bertindak sesuka hati.

Pendidikan adab perlu bermula di rumah dan diperkukuh di sekolah. Ibu bapa menjadi contoh melalui tingkah laku, manakala guru membimbing murid menghormati orang lain, mematuhi peraturan dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.

Kemajuan negara tidak boleh diukur melalui kecanggihan teknologi, pembangunan fizikal atau jumlah graduan semata-mata.

Kualiti insan turut menjadi penentu. Ilmu menjadikan manusia berpengetahuan manakala adab menjadikannya mulia. Kedua-duanya perlu bergerak seiring untuk melahirkan generasi yang mampu membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara. –UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN