Tingkat kuota pekerja tempatan operasi ECRL

Tingkat kuota pekerja tempatan operasi ECRL

PERKHIDMATAN Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sahaja memberikan satu alternatif pengangkutan baharu malah turut membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBAKI tidak sampai beberapa bulan sahaja lagi apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi Fasa 1 menghubungkan Gombak dan Kota Bharu akan memulakan operasi secara rasmi.

Kuota pekerja tempatan seperti yang ditetapkan pihak operator iaitu syarikat usahasama antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. dan China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) adalah sebanyak 80 peratus manakala baki lagi 20 peratus adalah pekerja asing.

Diharap pihak operator  dapat meningkatkan kuota pekerja tempatan kepada 90 peratus atau lebih baik lagi seratus peratus secara beransur-beransur bagi mengisi keseluruhan tenaga kerja sepanjang jajaran dianggar seramai 2,000 orang.

 Pada pendapat saya, tidak ada masalah buat rakyat Malaysia mengisi kekosongan jawatan untuk operasi ECRL kerana malaysia memiliki pengalaman mengoperasikan perkhidmatan rel antarabandar seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu. 

Malah perkhidmatan Express Rail Link (ERL) yang menghubungkan KL Sentral dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga menggunakan landasan tolok piawai dengan tren berkelajuan 160 km/j sama seperti ECRL. 

Perkhidmatan ECRL bukan sahaja memberikan satu alternatif pengangkutan baharu buat penduduk Pantai Timur yang selama ini tiada akses kepada perkhidmatan kereta api seperti di negeri Terengganu malah turut membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di kampung halaman sendiri terutama untuk graduan universiti dan lepasan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) tanpa perlu berhijrah ke Lembah Klang. 

Di samping itu, pihak syarikat swasta yang bakal meraih kontrak khidmat sokongan seperti khidmat pembersihan juga diharap menawarkan peluang kerja terlebih dahulu kepada rakyat tempatan. 

Golongan asnaf serta penduduk kampung yang selama ini melakukan kerja-kerja sendiri tidak berpendapatan tetap perlu ditawarkan dahulu untuk mengisi kekosongan di stesen ECRL berdekatan dengan tempat tinggal. 

Gaji yang diperoleh pekerja tempatan ECRL akan berlegar dalam negara serta menggerakkan ekonomi setempat hasil perbelanjaan.seharian.

Mudah-mudahan manfaat ECRL nanti bukan sahaja daripada segi perkhidmatan tren yang cekap dan selamat setanding seperti di Pantai Barat malah peluang kerja pelbagai peringkat buat rakyat Pantai Timur. –UTUSAN

 

M. FAISAL

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×