Semakin ramai guna BNPL untuk beli-belah

Semakin ramai guna BNPL untuk beli-belah

BELI Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bukan sesuatu yang negatif, malah menawarkan fleksibiliti kewangan tetapi penggunaannya secara berlebihan boleh bertukar menjadi beban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATA Kementerian Kewangan menunjukkan trend pertumbuhan ketara dalam penggunaan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) kebelakangan ini.

Yang lebih membimbangkan, 40 peratus pengguna BNPL negara ini terdiri daripada golongan yang sepatutnya baru memulakan kerjaya tetapi sudah bergelut dengan hutang. 

Kajian turut mendedahkan BNPL kini digunakan bukan sekadar untuk pembelian besar malah, untuk pembelian harian seperti makanan, runcit dan pengangkutan harian. 

Antara alasan menggunakan BNPL untuk mengurus aliran tunai bulanan dan kebergantungan kepada hutang BNPL sehingga hari gaji. 

Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan BNPL dan pinjaman peribadi antara punca utama kebankrapan belia dan sesetengah kes membabitkan individu seawal usia 20-an. 

Sejak 2022, 3,876 belia diisytiharkan bankrap dengan BNPL dikenal pasti sebagai salah satu punca utama.

Antara alasan kenapa ramai Generasi Z (Gen Z) menggunakan BNPL adalah kerana mereka bekerja dalam ekonomi gig, sukar mendapat kelulusan kad kredit bank, maka BNPL jadi alternatif mudah tanpa semakan ketat. 

Psikologi menormalisasi hutang kecil turut menular walaupun kesan kumulatifnya besar. Kos sara hidup meningkat secara agresif sementara gaji, terutama gaji permulaan graduan, stagnan sejak sedekad lalu dan BNPL menjadi ‘penyelamat’ sementara. 

Tambahan, literasi kewangan yang rendah pula menyebabkan ramai tidak sedar pinjaman kecil boleh bertindih dan membebankan.

Jika terjebak, senaraikan semua akaun BNPL dengan tunggakan, tarikh bayaran dan caj lewat. 

Utamakan bayaran akaun bercaj lewat tertinggi dahulu. Hubungi penyedia untuk jadualkan semula jika tidak mampu bayar. Jangan senyap dan biarkan tunggakan bertambah. 

Padam aplikasi BNPL jika perlu untuk elak godaan. 

Dapatkan juga bantuan percuma daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika keadaan serius. 

Sebelum menggunakan BNPL, tanya keperluan sebenar, elak perbelanjaan harian, hadkan bilangan platform, bina dana kecemasan yang secukupnya dan tingkatkan celik kewangan melalui kursus-kursus yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia dan AKPK.

Pelbagai usaha kerajaan telah dilakukan bagi menangani isu BNPL dan antaranya ialah mewujudkan Akta Kredit Pengguna 2025, dikuatkuasakan melalui Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) terhadap lesen penyedia BNPL. 

Akta ini menjamin BNPL yang lebih telus. Walau bagaimanapun tanggungjawab utama tetap terletak pada bahu pengguna.

BNPL bukan sesuatu yang negatif dan ia direka untuk fleksibiliti kewangan. Masalahnya timbul bila pengguna menggunakannya bagi menampung gaya hidup mewah sehingga menjadi bebanan tanpa disedari. 

Kunci utama bagi Gen Z bukan mengelak BNPL sepenuhnya, tetapi memahami bila perlu digunakan, bila perlu berhenti dan di mana untuk mendapat bantuan sebelum ‘bom jangka’ ini meletup. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. M. LOGASVATHI 

Institut Dasar Ekonomi & Kewangan (ECOFI),

Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB),

Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×