DUNIA industri berubah pantas. Automasi, robotik, Internet Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital terus mengubah landskap pekerjaan.
Kemahiran yang relevan lima atau 10 tahun lalu mungkin tidak lagi mencukupi untuk memenuhi tuntutan semasa.
Justeru, pengalaman industri dalam kalangan pengajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diberi perhatian.
Berdasarkan data TVET Masterplan, 27 peratus pengajar mempunyai pengalaman industri kurang daripada setahun, manakala 54 peratus melebihi tiga tahun.
Angka ini bukan bermaksud mereka tidak kompeten, sebaliknya menunjukkan tahap pendedahan yang berbeza dan keperluan untuk pengalaman lebih dekat dengan dunia pekerjaan sebenar.
Pengalaman industri bukan sekadar pernah bekerja di syarikat atau menyertai lawatan ke kilang.
Pengajar perlu memahami teknologi terkini, prosedur kerja, standard keselamatan, budaya organisasi serta kaedah menyelesaikan masalah yang diperlukan majikan.
Pengajar yang tidak mengikuti perkembangan industri berisiko mewujudkan jurang antara kandungan pembelajaran dengan keperluan tempat kerja.
Kajian terhadap pakar industri di Malaysia turut mengenal pasti kompetensi tenaga pengajar sebagai antara cabaran dalam memperkukuh ekosistem TVET.
Kemahiran teknikal sahaja belum mencukupi. Seseorang yang mahir mengendalikan mesin atau sistem automasi perlu mampu menterjemahkan pengetahuan itu melalui kaedah pengajaran yang mudah difahami.
Oleh itu, pengajar memerlukan gabungan kepakaran teknikal, pedagogi berkesan dan pengalaman sebenar di industri.
Pelan Tindakan 2026–2028 Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia menggariskan usaha memperkukuh kualiti pengajar melalui program sangkutan industri. Sasaran lima peratus pensyarah institusi pengajian tinggi awam menyertai program itu setiap tahun turut dilengkapi pendekatan Pengajaran Bersama Industri dan Program Felo Jemputan dengan sasaran penglibatan 3,000 pakar industri menjelang 2028.
Langkah ini wajar diteruskan dengan menjadikan pendedahan industri sebahagian daripada pembangunan profesional berterusan, bukan sekadar aktiviti tambahan.
TVET menuntut pelajar bergerak daripada “saya tahu” kepada “saya boleh buat”. Mereka bukan sahaja perlu memahami teori, malah mampu mendiagnosis masalah sistem automasi dan menyelesaikannya dalam situasi sebenar.
Kemunculan AI pula menuntut pengajar membimbing pelajar menilai ketepatan, kesesuaian dan keselamatan sesuatu penyelesaian.
Dalam bidang teknikal, kesilapan boleh menyebabkan kerosakan peralatan, kecacatan produk malah menjejaskan keselamatan manusia.
Maka, pengajar juga perlu sentiasa bersedia belajar semula, kembali ke industri dan menguasai teknologi baharu.
TVET berimpak tinggi bukan hanya bergantung pada bengkel moden, mesin canggih atau kurikulum tersusun tetapi turut memerlukan pengajar yang kompeten, relevan dan terbuka kepada perubahan.
Jika mahu melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan, pengajarnya juga perlu terus melangkah keluar daripada zon selesa. – UTUSAN
DR. BASIRAH FAUZI
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Diploma,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











