BANDAR Raub di bahagian barat Pahang merupakan bandar bersejarah yang telah wujud sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Bandar ini pernah terkenal sebagai kawasan perlombongan emas di Pahang, khususnya sejak zaman penjajahan British pada sekitar 1890-an. Namun, penduduk asal dipercayai menemui emas di kawasan tersebut sejak 1700-an lagi.
Kedudukannya sebagai laluan penting dari Lembah Klang menuju Pahang Barat, termasuk Lipis dan seterusnya Kelantan, menjadikan pusat Bandar Raub suatu ketika dahulu sering sesak. Namun, pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Lebuhraya Karak terus ke Persimpangan LTU Raub (Utara) mengubah keadaan apabila kenderaan tidak lagi perlu melalui laluan lama.
Apabila LTU siap sepenuhnya dalam beberapa bulan lagi, Bandar Raub mungkin menjadi semakin sunyi jika tiada perancangan baharu dilakukan. Justeru, beberapa langkah wajar dipertimbangkan Majlis Daerah Raub (MDR) dan pihak berkuasa berkaitan.
Pertama, bangunan bazar atau gerai di hadapan Dataran Raub perlu dinaik taraf kerana kelihatan usang, termasuk bahagian siling yang rosak serta banyak lot perniagaan tidak beroperasi. Bangunan itu juga boleh dipertimbangkan sebagai lokasi baharu pejabat MDR kerana kedudukannya strategik menghadap Dataran Raub.
Kedua, bangunan pejabat MDR sedia ada yang mempunyai nilai sejarah boleh diubah suai menjadi hotel bajet dengan mengekalkan identiti serta warna yang sesuai dengan bangunan Rumah Rehat Raub berhampiran.
Ketiga, pasar malam atau pasar tani boleh diwujudkan di jalan utama Bandar Lama Raub. Laluan berkenaan boleh ditutup kepada kenderaan selama enam jam, dari 7 malam hingga 1 pagi, bagi menghidupkan semula suasana perniagaan.
Keempat, gerai makan kekal serta tandas awam boleh disediakan berhampiran Persimpangan LTU Raub (Utara) sebagai hentian rehat pengguna LTU. Kemudahan ini juga berpotensi membantu memasarkan durian Musang King dan hasil tempatan.
Kelima, kerajaan negeri wajar menaik taraf jalan dari Kampung Sempalit ke Persimpangan LTU Raub (Selatan) berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub.
MDR pula boleh mempertimbangkan pindaan Rancangan Tempatan Daerah dengan menjadikan kawasan berhampiran persimpangan LTU sebagai zon pembangunan bercampur. –UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak,
Kuala Lumpur











