Langkah kecil menuju baitullah

Langkah kecil menuju baitullah

PERJALANAN menuju Baitullah bermula dengan niat, disusuli usaha dan kesabaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, musim Haji tahun ini telah melabuhkan tirainya beberapa bulan lalu. Kepulangan para tetamu Allah SWT dari Tanah Suci membawa bersama pelbagai kisah yang penuh makna, tentang doa yang dipanjatkan bertahun-tahun, penantian yang panjang, pengorbanan dengan penuh kesabaran serta rasa syukur apabila impian akhirnya menjadi kenyataan.

Bagi umat Islam, Ibadat Haji bukan sekadar perjalanan menuju sebuah tempat yang suci. Ia merupakan perjalanan hati yang menuntut pengorbanan, persediaan dan keikhlasan. Seruan ke Baitullah juga mengingatkan setiap Muslim bahawa sesuatu impian besar perlu disambut dengan usaha, bukan sekadar menunggu peluang datang.

Apabila mendengar kisah para jemaah, jelas bahawa setiap insan mempunyai jalan tersendiri menuju Tanah Suci. Ada yang mengumpul simpanan selama bertahun-tahun hasil pekerjaan harian. Ada pula yang menyimpan sedikit demi sedikit daripada pendapatan berniaga, bertani, bekerja sendiri atau melakukan pelbagai usaha lain.

Kesungguhan itu membuktikan perjalanan menuju Baitullah tidak semestinya bermula dengan kemampuan yang besar. Sebaliknya, sering lahir daripada langkah kecil yang dilakukan secara berterusan.

Bagi saya sendiri, perjalanan menuju Baitullah mempunyai makna yang cukup dekat di hati. Antara khidmat bakti yang paling saya syukuri ialah membantu ibu merealisasikan impiannya untuk menunaikan Haji. Melihat insan yang saya kasihi berpeluang menjadi tetamu Allah merupakan nikmat yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Pengalaman itu membuatkan saya lebih memahami hakikat istito’ah dalam ibadah Haji. Kemampuan menunaikan rukun Islam kelima bukan hanya berkaitan kewangan, sebaliknya meliputi kesiapsiagaan secara menyeluruh, termasuk kesihatan, ilmu, keselamatan perjalanan serta kekuatan rohani.

Dalam dunia yang semakin mencabar, perancangan awal wajar diberikan perhatian. Keadaan ekonomi, peningkatan kos perjalanan dan pelbagai keperluan lain menjadikan pengurusan kewangan satu aspek penting dalam persediaan. Namun, usaha tersebut tidak harus dianggap sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh golongan berada.

Sebaliknya, ia boleh dimulakan dengan perkara sederhana. Menyimpan mengikut kemampuan, mengurus perbelanjaan secara berhemah dan menetapkan sasaran jangka panjang merupakan antara langkah yang boleh dilakukan. Nilai sesuatu usaha bukan semata-mata pada jumlahnya tetapi pada kesungguhan untuk melakukannya secara konsisten.

Begitu juga dengan persediaan fizikal, mental dan ilmu. Haji memerlukan kekuatan tubuh, kesabaran yang tinggi serta pemahaman yang baik mengenai tatacara ibadah. Menjaga kesihatan, menambah pengetahuan dan mempersiapkan hati merupakan sebahagian daripada usaha menghormati perjalanan suci yang bakal dilalui.

Pada akhirnya, Haji mengajar kita yang perjalanan menuju Allah  menuntut pengorbanan dan keikhlasan. Ia bukan sekadar tentang sampai ke Tanah Suci tetapi bagaimana seseorang mempersiapkan dirinya untuk menerima jemputan tersebut.

Setiap perjalanan menuju Baitullah mempunyai waktunya yang tersendiri. Setelah berusaha membantu merealisasikan impian ibu, kini tiba pula masanya untuk saya memulakan langkah bagi menyahut panggilan suci ini.

Semoga niat yang tersemat dan usaha yang dimulakan hari ini menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju jemputan Allah  pada masa hadapan kerana perjalanan yang jauh sering bermula dengan satu langkah kecil, manakala perjalanan menuju Baitullah pula bermula dengan niat yang ikhlas, usaha yang istiqamah dan keyakinan bahawa setiap rezeki mempunyai waktunya. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. NASIRIN ABDILLAH
Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif,
Fakulti Filem, Teater dan Animasi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×