Ikan liar perlu dipulihara

Ikan liar perlu dipulihara

IKAN liar perlu dimanfaatkan secara lestari supaya kekal menjadi sumber makanan, pendapatan dan khazanah alam untuk generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND memburu makanan unik kini semakin berkembang. Penggemar kulinari bukan lagi sekadar mencari hidangan yang mengenyangkan, malah turut mengejar rasa autentik, eksklusif dan sukar diperoleh. Fenomena ini menjadikan ikan sungai liar sebagai antara hasil tempatan yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Di Semenanjung Malaysia, Sungai Perak dan Sungai Pahang antara kawasan yang terkenal dengan kepelbagaian spesies air tawar.

Di Perak, nelayan darat di sepanjang Sungai Perak masih menggunakan kaedah tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun untuk mencari rezeki.

Hasil tangkapan pula dikumpulkan oleh pengedar tempatan kerana berpotensi besar dalam pasaran ikan sungai liar. Tangkapan diproses dengan teliti sebelum melalui kaedah pembekuan dan pembungkusan vakum bagi memanjangkan tempoh penyimpanan tanpa menjejaskan kesegaran serta tekstur.

Antara spesies yang mendapat permintaan ialah patin buah, patin lawang, kelaba, tapah, tongsan sisik kasar dan halus serta baung kuning dan hitam. Terubuk Sungai Perak pula antara tangkapan premium yang boleh mencecah RM250 sekilogram kerana sukar diperoleh.

Di Pantai Timur, Sungai Pahang turut menyimpan khazanah tersendiri. Ekosistem sungai yang unik menghasilkan pelbagai spesies dengan ciri rasa dan tekstur tersendiri. Patin muncung, misalnya, mempunyai nilai pasaran tinggi kerana dagingnya berlemak, manis dan beraroma.

Perkembangan pasaran ikan liar sememangnya membuka peluang ekonomi kepada nelayan darat serta pengusaha tempatan. Namun, permintaan yang semakin meningkat perlu diseimbangkan dengan usaha pemuliharaan. Jika tangkapan dilakukan tanpa kawalan, spesies bernilai tinggi berisiko mengalami kemerosotan populasi dan akhirnya pupus.

Kerajaan perlu memperluas kawasan perlindungan serta memperketat penguatkuasaan bagi memastikan habitat semula jadi terus terpelihara.

Di Pahang, ikan kelah antara spesies yang dilindungi daripada aktiviti penangkapan, manakala kawasan Tembeling turut menjadi antara lokasi usaha pemuliharaan spesies berkenaan.

Di Perak pula, Jabatan Perikanan Negeri perlu terus menangani ancaman spesies pemangsa yang semakin berkembang dalam perairan tempatan. Kehadiran baung ekor merah, tilapia dan spesies lain yang membiak dengan pantas boleh mengganggu keseimbangan ekosistem serta mengurangkan populasi ikan asal. Keadaan ini semakin ketara apabila anak-anak ikan di sungai kecil menjadi mangsa pemangsa.

Usaha menjaga sungai tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata. Masyarakat perlu mengelakkan penangkapan berlebihan, melepaskan spesies dilindungi serta melaporkan aktiviti yang menjejaskan habitat akuatik. Pemuliharaan juga perlu meliputi sungai, tali air, parit, lombong dan tasik yang menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies.

Ikan liar bukan sekadar hidangan istimewa atau sumber pendapatan nelayan. Khazanah ini turut menjadi sebahagian daripada sekuriti makanan dan keseimbangan alam. Jika diurus secara bijaksana, sumber tersebut mampu terus dinikmati tanpa mengorbankan kelangsungan generasi akan datang.-UTUSAN

 

YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×