DI sebalik pelbagai manfaat kecerdasan buatan (AI), satu persoalan perlu kita fikirkan: Adakah pelajar menggunakan AI untuk belajar atau menggunakan AI supaya tidak perlu belajar?
Persoalan ini semakin penting kerana penggunaan AI dalam pendidikan bukan lagi sesuatu yang bersifat sementara. Malaysia sendiri telah mula membina panduan bagi memastikan teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab.
Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana AI digunakan supaya teknologi itu membantu, bukannya mengambil alih proses pembelajaran.
AI bukan mesin siapkan tugasan
Hari ini, pelajar hanya perlu memasukkan soalan tugasan ke dalam AI untuk mendapatkan jawapan dalam beberapa saat. Jawapan itu kemudiannya boleh terus disalin dan dihantar kepada guru atau pensyarah.
Tugasan mungkin siap. Tetapi adakah pembelajaran berlaku?
Persoalan ini bukan hanya berkaitan dengan integriti akademik. Ia berkaitan dengan keupayaan manusia untuk terus berfikir.
Dalam rencana Utusan Malaysia bertajuk “Kecerdasan buatan lemahkan keupayaan berfikir” yang disiarkan pada 27 Jun lalu, turut dibangkitkan kebimbangan mengenai kebergantungan berlebihan kepada AI.
Keadaan ini dikaitkan dengan fenomena cognitive offloading, iaitu kecenderungan menyerahkan sebahagian proses pemikiran kepada teknologi.
Jika pelajar terlalu bergantung kepada AI, mereka mungkin semakin kurang berusaha untuk menganalisis, menilai maklumat dan menyelesaikan masalah sendiri.
AI boleh menjadi pembantu yang baik. Pelajar yang tidak memahami sesuatu konsep boleh meminta AI menerangkannya dengan bahasa mudah.
Mereka boleh meminta contoh tambahan, soalan latihan atau penerangan dari sudut yang berbeza.
Pelajar juga boleh menggunakan AI untuk menguji pemahaman. Selepas membaca sesuatu topik, mereka boleh menerangkan konsep tersebut dengan kata-kata sendiri dan kemudian meminta AI menyemak kelemahan penerangan itu.
Namun, keputusan akhir tentang kandungan dan hujah tetap perlu dibuat oleh pelajar. Dalam keadaan ini, AI membantu pembelajaran, bukan menggantikannya.
Fikir dahulu, AI kemudian
Masalah bermula apabila pelajar menyerahkan keseluruhan proses pemikiran kepada AI. Daripada membaca, mencari maklumat, menilai sumber dan membina hujah sendiri, pelajar terus meminta AI menulis jawapan lengkap.
Di sinilah wujud perbezaan antara menghasilkan jawapan dengan memahami jawapan. Prinsip yang mudah boleh digunakan: Fikir dahulu, AI kemudian.
Pelajar perlu mencuba sendiri sebelum mendapatkan bantuan AI. Mereka perlu membaca, membina idea dan menyelesaikan masalah berdasarkan pemahaman sendiri.
Selepas itu, AI boleh digunakan untuk mencabar atau memperbaiki idea tersebut.
Oleh itu, pelajar perlu tahu bila AI boleh digunakan, bila penggunaannya perlu dinyatakan, bagaimana maklumat daripada AI perlu disemak dan apakah bentuk penggunaan yang dianggap tidak beretika.
Pelajar perlu memahami bahawa AI boleh menghasilkan maklumat yang salah, tidak lengkap atau kelihatan meyakinkan walaupun hujahnya lemah.
Sebab itu, kemahiran menyemak fakta, menilai sumber dan menggunakan pertimbangan sendiri perlu terus dipupuk.
Jika AI membantu pelajar memahami, bertanya, mencabar dan memperbaiki pemikiran, maka AI menjadi alat pembelajaran yang berkuasa.
Tetapi jika AI hanya digunakan untuk salin dan tampal, kita mungkin menghasilkan tugasan yang lebih pantas, tetapi bukan pelajar yang lebih berilmu.
Justeru, gunakan AI untuk membantu kita berfikir. Jangan gunakan AI supaya kita tidak perlu berfikir. – UTUSAN
DR. RUZELAN KHALID
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif
Universiti Utara Malaysia











