DEMOKRASI sering dianggap sebagai antara sistem terbaik untuk menjamin hak dan kebebasan rakyat. Namun, tanpa kematangan politik serta pertimbangan rasional, kebebasan itu boleh berubah menjadi alat yang merosakkan kestabilan negara dari dalam.
Perkembangan politik Malaysia mutakhir ini menunjukkan beberapa petanda yang wajar diberi perhatian.
Isu persepsi dan sentimen berkaitan kaum, agama serta institusi diraja (3R) semakin kerap dijadikan modal politik untuk meraih sokongan. Jika kecenderungan ini dibiarkan berlarutan, polarisasi masyarakat boleh menjadi semakin tajam sehingga menjejaskan keharmonian yang dibina sejak sekian lama.
Persoalannya, sampai bilakah kestabilan serta hala tuju negara mahu dipertaruhkan demi kemenangan politik jangka pendek yang berasaskan emosi dan persepsi?
Demokrasi Malaysia mempunyai keunikan tersendiri kerana terbina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Kepelbagaian ini menjadi kekuatan apabila diurus dengan bijaksana tetapi boleh menjadi rapuh apabila kebebasan bersuara disalahgunakan untuk membangkitkan prasangka serta permusuhan.
Media sosial pula mempercepatkan penyebaran maklumat palsu, provokasi dan naratif perkauman. Kandungan yang mencetuskan kemarahan sering mendapat perhatian lebih pantas berbanding penjelasan berasaskan fakta.
Apabila mentaliti ‘kita lawan mereka’ semakin menebal, ruang untuk bertolak ansur turut mengecil.
Lebih membimbangkan, masyarakat akhirnya cenderung mempertahankan kelompok sendiri tanpa menilai sesuatu isu secara objektif.
Dalam keadaan sedemikian, kebenaran boleh diketepikan hanya kerana sesuatu pandangan datang daripada pihak yang dianggap sebagai lawan.
Pengalaman beberapa negara di Asia Barat wajar dijadikan pengajaran. Syria, Yemen dan Libya, misalnya, berdepan konflik serta ketidakstabilan yang berpanjangan selepas pergolakan politik dan sosial yang kompleks.
Perkembangan tersebut memperlihatkan bagaimana perpecahan masyarakat, persaingan kuasa, campur tangan luar dan konflik bersenjata boleh menghakis institusi negara.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah eksploitasi sentimen ekstrem. Perbezaan identiti dan fahaman boleh dimanipulasi untuk mendapatkan sokongan, sekali gus memperdalam jurang antara kelompok masyarakat.
Apabila rasa curiga serta prejudis terus dipupuk, toleransi semakin terhakis. Pertikaian yang pada awalnya berlaku dalam ruang politik pula boleh berkembang menjadi konflik lebih serius apabila retorik kebencian tidak lagi dikawal.
Kesannya bukan sekadar terhadap kestabilan pentadbiran. Infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan peluang generasi muda turut menerima tempias. Pemulihan selepas konflik lazimnya mengambil masa panjang serta menuntut kos kemanusiaan dan kewangan yang besar.
Malaysia perlu memastikan pengalaman tersebut tidak menjadi gambaran masa depan sendiri. Sebagai negara majmuk, kestabilan masyarakat bergantung pada kemampuan semua pihak mengurus perbezaan secara matang. Prinsip kesederhanaan, toleransi dan saling menghormati perlu terus diperkukuh.
Literasi politik rakyat juga mesti ditingkatkan supaya prestasi sesebuah kerajaan dinilai berdasarkan pencapaian dasar, keberkesanan pentadbiran dan manfaat kepada masyarakat, bukannya semata-mata berdasarkan propaganda atau kandungan tular.
Pada masa sama, ucapan kebencian serta fahaman ekstrem yang mengeksploitasi kaum dan agama perlu ditolak tanpa mengira siapa yang menggunakannya. Pemimpin politik pula harus menunjukkan sikap negarawan dengan mengutamakan kepentingan negara, bukan memperbesar perbezaan demi kepentingan partisan.
Demokrasi yang sihat memerlukan kebebasan bersuara yang disertai tanggungjawab. Perbezaan pandangan boleh diraikan tetapi jangan sampai persaingan politik menukar kepelbagaian menjadi permusuhan. –UTUSAN
MUHAMMAD ZAHID FIDDAUS
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










