PENDEDAHAN Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020, yang didedahkan kepada umum pada akhir Julai lalu, menjadi tamparan hebat buat dunia korporat Islam.
Laporan tersebut menegaskan hakikat bahawa status ‘patuh syariah’ tidak boleh terhenti pada produk sahaja, sebaliknya wajib disokong oleh kerangka perundangan dan tadbir urus entiti yang selari dengan prinsip syariah.
Dapatan RCI menyingkap siri kepincangan serius dalam TH, merangkumi kedudukan rizab negatif (2015–2017), isu transaksi berisiko anak syarikat, skandal penganugerahan kontrak anak benih getah RM8 juta, projek pengubahsuaian berbiaya tinggi, serta salah guna kuasa dalam penyewaan premis dan aset.
Skandal ini membuktikan sekiranya proses membuat keputusan, pelantikan pengarah, penganugerahan kontrak dan kawalan dalaman rapuh, maka integriti syariah sesebuah organisasi tetap terjejas secara keseluruhan.
Tadbir urus syariah bukan sekadar memelihara kepentingan pemegang saham, sebaliknya memikul tanggungjawab moral dan akauntabiliti serta amanah kepada Allah SWT mahupun masyarakat.
Pengajaran kritikal daripada skandal TH melibatkan kelemahan struktur perundangan anak syarikat. Anak syarikat kerap dijadikan ‘tempat berlindung’ oleh pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah di sebalik doktrin entiti berasingan demi melepaskan liabiliti atas kerugian syarikat.
Punca jurang ini adalah :
- Personaliti tiruan & liabiliti terhad: Di bawah Seksyen 20 dan Seksyen 192 Akta Syarikat 2016, syarikat sivil dianggap personaliti tiruan berasingan daripada ahlinya.
- Kewajipan fiduciari terhad: Pengarah hanya memegang kewajipan fiduciari kepada syarikat itu sendiri, bukannya secara terus kepada pendeposit atau pelabur. Keadaan ini mewujudkan benteng perlindungan yang membolehkan entiti syarikat melepaskan akauntabiliti kewangan dan moral, sekali gus melanggar prinsip Fiqh Muamalat utama iaitu Al-Ghunm bi al-Ghurm (keuntungan berjalan seiring dengan risiko kerugian).
Kerangka standard Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) menekankan keperluan pengawasan bebas, semakan pematuhan, audit berterusan, dan tindakan pembetulan tegas.
Pengajaran TH membuktikan sistem semak dan imbang tidak boleh terhenti di syarikat induk semata-mata.
Lembaga Pengarah bertindak sebagai pemegang amanah yang wajib memantau potensi konflik kepentingan, ketelusan tender, dan keabsahan transaksi anak syarikat secara proaktif sebelum sesuatu risiko memusnahkan organisasi.
Bagi memastikan skandal anak syarikat seperti di TH tidak berulang, sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan kerangka perundangan khusus bagi entiti perniagaan patuh Syariah. Tiga syor reformasi struktur wajar dilaksanakan:
- Pengiktirafan entiti Quasi-Kolektif : Mengubah status entiti berasingan mutlak kepada konsep perkongsian separa bagi menyerap akauntabiliti perkongsian Islam.
- Pelaksanaan liabiliti pro-rata : Menghapuskan kekebalan liabiliti terhad bagi pengarah dan pemegang saham sekiranya terbukti berlaku kecuaian berat atau salah guna kuasa.
- Pemilikan bersama aset & audit syariah wajib: Mengiktiraf hak pemilikan bersama (hissah shāi‘ah) ke atas aset anak syarikat, di samping mewajibkan pelaksanaan audit forensik dan audit syariah berkala ke atas seluruh anak serta cucu syarikat.
Sudah sampai masanya kerangka perundangan entiti perniagaan patuh syariah yang khusus dan komprehensif direalisasikan bagi perniagaan patuh syariah. -UTUSAN
ZUHAIRAH ARIFF ABD. GHADAS & HARTINIE ABD. AZIZ
Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza)











