Ubah budaya kerja yang lebih positif

Ubah budaya kerja yang lebih positif

BEKERJA bukan kerana ingin dipuji tetapi menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tibanya tahun baharu Hijrah, umat Islam diajak menghayati semangat perubahan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW melalui peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah.

Hijrah bukan sekadar perpindahan tempat tetapi perubahan cara berfikir, bertindak dan memimpin. Semangat ini juga wajar diterjemahkan dalam budaya kerja agar setiap tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

Hakikatnya, masih terdapat individu yang bekerja hanya apabila menerima arahan. Mereka melaksanakan tugas kerana dipantau, mengejar tarikh akhir atau memenuhi kehendak majikan.

Apabila tiada arahan atau pemantauan, boleh menyebabkan produktiviti dan kualiti kerja turut merosot.

Keadaan ini mencerminkan budaya kerja yang bergantung kepada kawalan luaran, bukannya didorong oleh kesedaran bahawa setiap tugas ialah amanah.

Dalam Islam, pekerjaan bukan sekadar memenuhi kontrak perkhidmatan, malah merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Justeru, pekerja yang menghayati nilai amanah akan berusaha memberikan hasil terbaik walaupun tiada sesiapa yang melihat atau menilai usahanya.

Mereka bekerja bukan kerana ingin dipuji tetapi menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Budaya bekerja kerana amanah turut melahirkan pekerja yang proaktif. Mereka tidak menunggu arahan untuk menyelesaikan masalah atau menambah baik proses kerja.

Sebaliknya, mereka sentiasa mencari peluang untuk menyumbang kepada kejayaan organisasi.

Organisasi yang mengutamakan amanah, integriti dan kepercayaan juga tidak perlu terlalu bergantung kepada pemantauan yang berlebihan kerana setiap warga memahami peranan masing-masing.

Islam turut menekankan konsep ihsan, iaitu melaksanakan setiap pekerjaan dengan sebaik-baiknya kerana menyedari Allah sentiasa memerhati setiap usaha manusia.

Nilai ini mendorong seseorang bekerja melangkaui sasaran prestasi semata-mata, sebaliknya berusaha menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada organisasi dan masyarakat.

Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, teknologi mampu menggantikan banyak tugasan rutin.

Namun, nilai amanah, integriti, empati dan kebijaksanaan membuat pertimbangan tetap menjadi kelebihan yang tidak dapat digantikan oleh mesin.

Oleh itu, kekuatan sesebuah organisasi pada masa hadapan bukan hanya bergantung pada teknologi tetapi pada nilai yang dihayati oleh warganya.

Apabila setiap individu bekerja dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab, maka organisasi akan menjadi lebih cemerlang, manakala pekerjaan pula menjadi ibadah yang mendatangkan keberkatan di dunia dan akhirat. – UTUSAN

SHAFRY SALIM
Pengarah Pusat Islam,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN