WABAK rasuah merupakan masalah utama dunia yang telah sekian lama membarah apabila kini ia bagaikan sudah menjadi sistemik sehingga menceroboh ke setiap aspek aktiviti kehidupan manusia.
Setiap tahun, gejala rasuah telah merugikan ekonomi global sebanyak RM17.02 trilion (AS$3.6 trilion dolar) seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Delia Matilde Ferreira Rubio, mantan Pengerusi Transparency International, pembudayaan nilai baik seperti integriti adalah antara penawar yang ampuh bagi wabak rasuah.
Dalam sektor awam di Malaysia, sebagai salah satu usaha membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling mengenai penubuhan Unit Integriti di semua agensi awam pada 24 Julai 2013 yang kini dipraktikkan di hampir setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri.
Sebaik mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pertamanya telah menyeru seluruh jentera penjawat awam menjadikan islah sebagai asas pembangunan negara.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan islah sebagai usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan sedia ada kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai. Islah menuntut kepada usaha pembaikan yang berterusan.
Dalam konteks perkhidmatan awam, definisi kalimat islah dapat dizahirkan melalui pemerkasaan budaya kerja perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik secara berterusan.
Pembudayaan nilai-nilai baik dalam perkhidmatan awam merupakan aspek utama yang sentiasa dititikberatkan.
Usaha berterusan sehingga melahirkan budaya kerja cemerlang perlu sentiasa disemai dalam jati diri penjawat awam kerana kecekapan sistem perkhidmatan awam merupakan cerminan kepada kekuatan dan keupayaan ekonomi sesebuah negara.
Budaya kerja cemerlang memperuntukkan tatacara dan etika kerja yang baik dari setiap peringkat sama ada pihak pengurusan atasan atau pekerja bawahan. Melalui pembudayaan ini, kegiatan tidak bermoral seperti rasuah pastinya dapat dihindari oleh pelbagai pihak.
Penglibatan orang awam sebagai penerima perkhidmatan juga menjadi pemangkin utama memperkasakan budaya kerja cemerlang perkhidmatan awam.
Pengaduan awam, inkuiri awam, maklum balas sama ada berbentuk pujian, semangat atau pandangan berterusan dari penerima perkhidmatan perlu sentiasa diberikan perhatian serta dihargai sebagai usaha ke arah memperbaiki budaya kerja sedia ada agar menjadi lebih baik.
Ini juga selaras dengan Perkara 13 PBB Menentang Rasuah (UNCAC) yang memperuntukkan agar sesebuah negara turut mempergiatkan usaha pembabitan kumpulan selain sektor awam untuk bersama-sama memerangi rasuah.
Budaya kerja cemerlang merupakan nadi dalam usaha ke arah memerangi rasuah melalui ketelusan dalam perkhidmatan dan keberkesanan terhadap penyampaian.
Usaha murni pihak kerajaan yang telah melancarkan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) serta Jawatankuasa Tatakelola di pelbagai peringkat Disember 2023 lalu harus dipuji.
Objektif utama JKKTN adalah sebagai wadah dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam melalui penekanan dalam prinsip tatakelola seperti kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterangkuman.
Terkini, usaha ke arah memerangi rasuah di Malaysia dilihat mendatangkan hasil apabila menunjukkan peningkatan skor bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan Transparency International. Pada tahun 2023, Malaysia telah mencatat peningkatan sebanyak tiga mata iaitu 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.
Ini telah melonjakkan Malaysia di kedudukan ke-57, berbanding 2022 di kedudukan ke-61 daripada 180 buah negara. Pencapaian ini pastinya menjadi motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia dalam memberikan pengharapan yang tinggi dan kesediaan untuk turut melibatkan diri memerangi rasuah.
Matt Tenney dalam bukunya berkaitan kepimpinan bertajuk Serve to Be Great (2014) menyatakan bahawa antara faktor utama yang menentukan budaya kerja sesebuah organisasi dan penghasilan prestasi yang cemerlang adalah sejauh mana motivasi terhadap para pekerja diberikan perhatian oleh pihak pengurusan.
Ini terkait dengan sejauh mana seseorang itu merasa perlu untuk melakukan sesuatu tugasan dengan cemerlang dan berpuas hati dengan setiap tindakan yang telah diambil selain persekitaran yang wujud dalam pekerjaannya.
Dalam perkara ini, pihak kerajaan melalui JPA pada tahun lalu telah memulakan salah satu perancangan yang penting untuk memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjaga iaitu dengan menyegerakan usaha bagi mewujudkan sistem saraan baharu.
Harapan seluruh penjawat awam pastinya agar keputusan yang bakal diumumkan kelak dapat memberikan kelegaan dari sudut pendapatan seterusnya dapat meningkatkan motivasi penjawat awam untuk lebih cemerlang.
Budaya kerja cemerlang melalui penyuburan nilai-nilai yang baik harus menjadi keazaman setiap individu. Pemerkasaan budaya yang baik secara berterusan dalam perkhidmatan awam pastinya akan melahirkan iltizam yang tinggi untuk menjauhi rasuah.
Penjawat awam sebagai tonggak utama perkhidmatan awam perlulah sentiasa melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh efektif dan bersemangat kerana rakyat sentiasa menaruhkan harapan yang tinggi kepada perkhidmatan awam.
Usah tergoda bisikan rasuah, sentiasa berpada jangan bermewah agar kehidupan kekal bermaruah. – UTUSAN
MUHAMMAD Ikram Abdul Halim ialah Perunding Latihan Pusat Penyelidikan dan Konsultasi INTAN Bukit Kiara.










