Pertahan kedaulatan negara, tolak campur tangan asing

Pertahan kedaulatan negara, tolak campur tangan asing

PERBEZAAN pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan kesatuan dalam mempertahankan kepentingan negara dan prinsip kemanusiaan sejagat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta pendirian tegas kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk campur tangan asing.

Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang berhak menentukan dasar luarnya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kepentingan nasional, prinsip keadilan sejagat dan undang-undang antarabangsa. Sebarang tekanan daripada pihak luar yang bertujuan mempengaruhi pendirian negara adalah bertentangan dengan prinsip saling menghormati dalam hubungan antarabangsa.

Hikam berpandangan sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah manifestasi komitmen negara terhadap nilai kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia. Malaysia berhak mengekalkan pendirian tersebut selaras dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Ayat ini menegaskan keadilan hendaklah ditegakkan secara konsisten tanpa dipengaruhi tekanan atau kepentingan mana-mana pihak.

Hikam turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperkukuh perpaduan dan bersama-sama mempertahankan maruah, kebebasan serta kedaulatan negara. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjejaskan kesatuan dalam mempertahankan kepentingan negara dan prinsip kemanusiaan sejagat.

Hikam juga menggesa semua negara menghormati prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain sebagaimana yang digariskan dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hubungan antarabangsa hendaklah dibina atas asas dialog, saling menghormati dan kerjasama.

Hikam mengulangi sokongan terhadap usaha kerajaan mempertahankan kedaulatan negara serta terus memainkan peranan sebagai suara yang konsisten dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.-UTUSAN

 

HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN