KEMISKINAN dan kemalasan sering dikaitkan dalam kehidupan masyarakat. Ada berpendapat kemiskinan berpunca daripada sikap malas berusaha, manakala ada pula melihat kemalasan lahir akibat tekanan hidup dan kesempitan yang berpanjangan.
Hakikatnya, kedua-duanya saling berkait sehingga sukar untuk menentukan punca yang sebenar. Namun, dalam banyak keadaan, sikap malas sering membuka ruang kepada kemiskinan untuk terus membelenggu kehidupan seseorang.
Kemalasan merujuk kepada sikap enggan berusaha, tidak mahu mencuba dan mudah berpuas hati dengan keadaan sedia ada.
Individu yang bersikap demikian lazimnya kurang berdisiplin, tidak mempunyai dorongan untuk memperbaiki kehidupan serta gemar menangguhkan pekerjaan.
Dalam dunia yang semakin mencabar, mereka yang tidak berusaha akan mudah tercicir. Peluang pekerjaan, pendidikan dan kemajuan lebih berpihak kepada mereka yang rajin serta sanggup berusaha. Akibatnya, individu yang malas bekerja atau enggan menimba ilmu berisiko berdepan kesempitan hidup kerana gagal meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan.
Namun begitu, kemiskinan juga boleh menjadi faktor yang melahirkan sikap malas. Individu yang terlalu lama hidup dalam kemiskinan adakalanya hilang keyakinan diri dan semangat untuk berubah.
Mereka beranggapan setiap usaha tidak akan membawa perubahan kerana peluang yang dimiliki terlalu terhad. Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi pasif, tidak berani mencuba dan akhirnya tenggelam dalam perasaan putus asa.
Anak-anak yang membesar dalam keluarga miskin juga berkemungkinan kurang menerima dorongan pendidikan dan motivasi sehingga menganggap kemiskinan sebagai takdir yang tidak mampu diubah.
Walaupun begitu, sejarah membuktikan ramai individu berjaya keluar daripada kemiskinan melalui usaha gigih dan kesungguhan. Mereka tidak menjadikan kesusahan sebagai alasan untuk terus gagal. Sebaliknya, mereka bekerja keras, menuntut ilmu dan berani menghadapi cabaran demi mengubah masa depan.
Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memutuskan kitaran antara kemiskinan dan kemalasan. Bantuan pendidikan, peluang pekerjaan, latihan kemahiran serta sokongan moral perlu diperkasakan agar golongan miskin mempunyai ruang untuk bangkit.
Pada masa sama, sikap terlalu bergantung kepada bantuan tanpa usaha memperbaiki diri perlu dielakkan kerana hanya akan menyuburkan budaya malas dalam masyarakat.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong,
Johor










