Keselamatan anak tanggungjawab bersama

Keselamatan anak tanggungjawab bersama

KESELAMATAN anak bukan hanya tanggungjawab individu tetapi tanggungjawab seluruh keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES kematian anak-anak kecil akibat kecuaian ibu bapa bukanlah perkara baharu. Namun, kejadian seperti ini masih berulang seolah-olah masyarakat belum benar-benar mengambil pengajaran daripada tragedi yang pernah berlaku.

Kehilangan anak dalam sekelip mata akibat kecuaian kecil membawa kesan besar yang tidak mungkin dapat diganti.

Antara kejadian yang sering berlaku ialah kes anak tertinggal dalam kenderaan. Situasi ini biasanya berlaku apabila ibu atau bapa hilang fokus akibat memikirkan perkara lain seperti urusan kerja, tanggungjawab harian atau perubahan rutin menghantar anak.

Kadangkala, apabila tugas menghantar anak yang biasanya dilakukan seorang pasangan bertukar kepada pasangan lain, perkara ini boleh menyebabkan kecuaian berlaku.

Bagi mengelakkan kejadian ini, ibu bapa perlu sentiasa memastikan kewujudan anak ketika berada dalam kenderaan.

Berbual dengan anak, menyebut nama mereka atau memastikan pemeriksaan terakhir sebelum meninggalkan kereta boleh membantu meningkatkan kesedaran. Pasangan juga boleh saling mengingatkan apabila seorang daripada mereka mengambil tugas menghantar anak.

Selain itu, kemalangan berlaku apabila kenderaan mengundur tanpa menyedari anak berada di belakang kereta. Ada ibu bapa menyangka anak berada bersama orang lain di dalam rumah, sedangkan anak kecil mungkin bergerak menghampiri kenderaan tanpa disedari.

Sebelum menghidupkan enjin, ibu bapa perlu memastikan anak benar-benar berada di tempat yang selamat.

Kes meninggalkan anak kecil tanpa pengawasan juga perlu diberi perhatian serius. Ada ibu bapa yang menyerahkan tanggungjawab menjaga adik kepada abang atau kakak yang masih kecil.

Hakikatnya, kanak-kanak juga belum mampu mengurus keselamatan diri sendiri sepenuhnya. Mereka mungkin terdedah kepada bahaya seperti bermain api, terjatuh dari tempat tinggi atau melakukan perkara yang tidak disedari risikonya.

Ibu bapa perlu membuat perancangan sebelum keluar rumah dan mengelakkan meninggalkan anak tanpa pengawasan. Jika terdapat urusan penting, bantuan ahli keluarga atau jiran yang dipercayai boleh diminta.

Pemilihan permainan anak juga perlu diberi perhatian. Kanak-kanak kecil, khususnya bawah usia dua tahun, mempunyai sifat ingin tahu dan cenderung memasukkan objek ke dalam mulut.

Mainan yang mempunyai bahagian kecil, mudah tertanggal atau mempunyai unsur tajam boleh membahayakan mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu memilih permainan yang sesuai dengan usia dan tahap perkembangan anak.

Kawasan persekitaran juga menjadi faktor keselamatan. Membiarkan anak bermain berhampiran parit, sungai atau kawasan berbahaya boleh membawa risiko besar.

Walaupun ibu bapa sibuk dengan urusan rumah, keselamatan anak perlu sentiasa menjadi keutamaan. Pintu rumah perlu dipastikan tertutup dan ahli keluarga lain boleh membantu memantau anak.

Kes kebakaran rumah turut menunjukkan kepentingan penyelenggaraan keselamatan. Pendawaian elektrik perlu dilakukan oleh pihak yang berkelayakan dan dinaik taraf mengikut keperluan semasa.

Penggunaan terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket boleh menyebabkan litar pintas dan mengundang tragedi.

Begitu juga ketika menaiki atau menurunkan anak dari kenderaan. Ibu bapa perlu membentuk rutin keselamatan dengan memastikan mereka turun dahulu sebelum membenarkan anak keluar.

Anak kecil mudah teruja dan mungkin terus berlari tanpa menyedari bahaya di sekeliling. Ketika menaiki kenderaan pula, ibu bapa perlu memastikan anak benar-benar sudah berada di dalam sebelum bergerak.

Pintu bilik air juga tidak boleh dipandang ringan. Kanak-kanak kecil yang sudah pandai bergerak boleh memasuki bilik air tanpa disedari dan berdepan risiko lemas. Baldi berisi air perlu dikosongkan dan pintu bilik air perlu sentiasa ditutup selepas digunakan.

Keselamatan anak bukan hanya tanggungjawab seorang individu tetapi tanggungjawab seluruh keluarga. Anak-anak ialah amanah dan permata hati yang tidak ternilai. Kecuaian hanya dalam beberapa minit boleh mengubah seluruh kehidupan keluarga.

Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi ia sebagai peringatan dan tanggungjawab sosial supaya ibu bapa lebih peka serta berhati-hati.

Semoga setiap keluarga sentiasa mengutamakan keselamatan anak-anak kerana kehilangan mereka akibat kecuaian adalah penyesalan yang tidak mungkin dapat diundur kembali. – UTUSAN

CIKGU JAMAL ABDUL RAHIM
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN