Kecerdasan buatan bukan pengganti ilmu

Kecerdasan buatan bukan pengganti ilmu

KECERDASAN buatan (AI) mengubah cara manusia memperoleh ilmu, namun nilai asas pendidikan kekal tidak berubah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN kecerdasan buatan (AI) membawa perubahan besar kepada cara manusia bekerja, berkomunikasi dan memperoleh maklumat.

Menurut Laporan AI Index 2026, penggunaan AI generatif mencapai kira-kira 53 peratus populasi dunia dalam tempoh hanya tiga tahun, sekali gus menjadikannya antara teknologi digital paling pantas berkembang.

Pada masa sama, 88 peratus organisasi menggunakan AI dalam sekurang-kurangnya satu fungsi, manakala hampir empat daripada lima pelajar universiti memanfaatkan teknologi ini dalam pembelajaran mereka.

Dalam sektor pendidikan, AI membantu tenaga pengajar merancang pengajaran dengan lebih tersusun dan berkesan.

Guru dan pensyarah menggunakan AI untuk mendapatkan sumber ilmu yang lebih luas serta menyesuaikan kandungan pengajaran mengikut keperluan pelajar. Pelajar pula menggunakan AI untuk memahami topik sukar, menulis draf tugasan, membuat ringkasan nota dan menganalisis data.

Perkembangan ini membuka peluang besar kepada sistem pendidikan, namun adakah kita memahami makna sebenar menjadi insan berilmu dalam era AI?

AI mengubah cara berinteraksi dengan ilmu. Maklumat kini diperoleh dengan cepat tanpa perlu usaha yang panjang seperti dahulu. Namun, kemudahan ini tidak menjadikan seseorang itu secara automatik berilmu.

Sebaliknya, manusia perlu menilai kesahihan maklumat, membezakan fakta daripada kekeliruan serta menapis maklumat daripada kebijaksanaan. Ini kerana tidak semua jawapan yang diberikan AI bersifat tepat, sahih atau bebas daripada kesilapan.

Dalam tradisi Islam, ilmu tidak terpisah daripada hikmah. Imam al-Ghazali mentakrifkan hikmah sebagai kemampuan jiwa untuk membezakan antara yang benar dan salah dalam setiap tindakan.

AI mungkin mampu mengakses jutaan data dan memberikan jawapan dalam masa singkat, namun tidak memiliki nilai moral, niat atau pertimbangan etika. AI hanya menjawab apa yang boleh dilakukan tetapi manusia menentukan apa yang wajar dilakukan.

Oleh itu, sistem pendidikan perlu menyesuaikan hala tuju dengan perubahan ini. Kejayaan pelajar tidak lagi wajar diukur semata-mata melalui penghafalan fakta tetapi melalui keupayaan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah kompleks dan membuat keputusan beretika.

Guru dan pensyarah perlu memperkukuh peranan sebagai pembimbing yang membentuk sahsiah, memupuk nilai dan mengasah pemikiran pelajar, bukan sekadar penyampai maklumat.

Pelajar juga perlu bergerak daripada celik digital kepada celik AI. Mereka perlu memahami cara AI berfungsi, kekuatan serta kelemahannya, di samping menguasai kemahiran menilai maklumat secara kritis.

Pendidikan perlu melahirkan pengguna teknologi yang bukan sahaja cekap tetapi juga bertanggungjawab dan berintegriti.-UTUSAN

DR. SHAFINAH FARVIN PACKEER MOHAMED
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian
Pengkomputeran (SOC),
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN