Jangan permainkan janji manifesto

Jangan permainkan janji manifesto

MANIFESTO tidak seharusnya dijadikan alat ‘perjudian nasib’ rakyat melalui janji yang tidak realistik atau sukar dilaksanakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI perspektif teori kontrak sosial, membolehkan hubungan antara pemerintah dengan rakyat dibina atas asas kepercayaan, tanggungjawab dan akauntabiliti.

Manifesto merupakan manifestasi kontrak tersebut kerana mengandungi komitmen yang dijanjikan kepada pengundi sebelum mandat diberikan.

Walaupun manifesto lazimnya tidak mempunyai kuasa mengikat dari sudut perundangan, namun tetap membawa tanggungjawab moral dan politik.

Parti yang dipilih perlu berusaha melaksanakan komitmen yang dijanjikan mengikut kemampuan kewangan, bidang kuasa dan keadaan semasa.

Pada masa sama, rakyat berhak menilai prestasi kerajaan berdasarkan tahap pelaksanaan manifesto tersebut.

Manifesto perlu dibina berdasarkan data, analisis keperluan masyarakat dan perancangan dasar yang komprehensif. Pendekatan ini membantu memastikan setiap janji mempunyai asas yang munasabah untuk dilaksanakan.

Sebahagian parti cenderung menawarkan janji yang menarik perhatian pengundi namun sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran. Ini sering dikaitkan dengan politik populisme yang lebih menumpukan tarikan emosi berbanding kebolehlaksanaan dasar.

Manifesto yang tidak mengambil kira kemampuan fiskal, sumber manusia, bidang kuasa kerajaan negeri atau tempoh pelaksanaan bakal mewujudkan jurang antara harapan rakyat dengan pencapaian sebenar kerajaan.

Apabila jurang ini menjadi terlalu besar, beberapa implikasi boleh berlaku. Antaranya penurunan tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi politik, peningkatan sikap sinis terhadap proses demokrasi, pengurangan penyertaan politik dalam kalangan rakyat dan kemerosotan legitimasi kerajaan yang dipilih.

Jika berlarutan, keadaan ini berupaya menjejaskan kestabilan politik serta melemahkan hubungan antara rakyat dengan institusi demokrasi.

Manifesto yang bertanggungjawab perlu memenuhi beberapa ciri utama. Pertama, setiap janji perlu mempunyai sasaran yang jelas dan boleh diukur. Kedua, dasar yang dicadangkan perlu disokong oleh sumber kewangan yang realistik.

Ketiga, tempoh pelaksanaan perlu dinyatakan secara munasabah agar rakyat dapat menilai kemajuan pelaksanaannya. Keempat, manifesto perlu mengambil kira bidang kuasa sebenar kerajaan yang bertanding supaya tidak menjanjikan perkara di luar kapasiti pentadbiran.

Parti politik juga wajar menyediakan mekanisme pemantauan terhadap pelaksanaan manifesto melalui laporan kemajuan secara berkala. Pendekatan ini akan meningkatkan ketelusan dan memperkukuhkan akauntabiliti kepada rakyat.

Pengundi perlu menilai manifesto secara kritikal dengan mengambil kira beberapa aspek seperti kebolehlaksanaan dasar, sumber kewangan, rekod prestasi parti serta kesesuaian cadangan dengan keperluan semasa masyarakat.

Pendekatan ini membantu mengalihkan budaya politik daripada pertandingan retorik kepada persaingan idea dan penyelesaian dasar.

Demokrasi yang matang memerlukan pengundi membuat keputusan berdasarkan maklumat sahih, bukannya semata-mata dipengaruhi janji bersifat sementara atau slogan kempen.

Manifesto tidak seharusnya dijadikan alat ‘perjudian nasib’ rakyat melalui janji yang tidak realistik atau sukar dilaksanakan.

Sebaliknya, perlu berfungsi sebagai dokumen dasar yang bertanggungjawab, telus dan boleh dinilai pencapaiannya.

Dalam konteks pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum (PRU), kematangan demokrasi bergantung kepada dua pihak.

Parti politik perlu menawarkan manifesto yang berasaskan fakta, analisis dan kemampuan sebenar pentadbiran, manakala rakyat perlu menilai setiap tawaran secara kritis dan berasaskan maklumat.

Dengan cara ini, manifesto akan kembali kepada fungsi asalnya sebagai kontrak moral yang memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi, bukan sekadar alat untuk memenangi pilihan raya. –UTUSAN

MUHAMMAD DANISH RIF’QI LUKMAN
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN