Elak debat bukan demokrasi sebenar

Elak debat bukan demokrasi sebenar

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan sekadar memperoleh kepercayaan rakyat melalui khidmat di kawasan tetapi prestasi semasa berbahas di dalam dewan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Puad Zarkashi selepas meninggalkan UMNO mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi cuba menghalangnya daripada membenarkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan dan pengimbang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Pindaan Perlembagaan Negeri Johor (ADUN pembangkang di Johor dikenali sebagai ‘Pengimbang’ sejak 2023).

Puad tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Beliau turut mempersoalkan Onn Hafiz, mengapakah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) Johor perlu takut dengan perbahasan para ADUN sedangkan mereka sudah menguasai lebih dua pertiga majoriti kerusi di dalam dewan?

Puad juga dalam pendedahannya mendakwa Onn Hafiz berulang kali memintanya untuk memendekkan sesi soal jawab ADUN di dalam sidang DUN. Puad enggan berbuat demikian kerana tindakan itu akan merendahkan maruah dan martabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau turut menyatakan, memandangkan para ADUN telah meluangkan masa yang lama untuk menyediakan soalan, maka Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) wajib menjawab soalan-soalan tersebut. Ini kerana soalan yang dikemukakan ADUN adalah bagi pihak pengundi untuk bertanya kepada kerajaan dan mereka berhak mendapat jawapan.

Sebenarnya, PRN kali ini sepatutnya boleh digunakan sebagai platform untuk mengetengahkan agenda reformasi DUN. Ia juga merupakan peluang terbaik buat ADUN yang ingin mengekalkan kerusi untuk mempamerkan prestasi mereka di dewan kepada pengundi. Bagi mendapatkan semula mandat rakyat, ia bukan sekadar melalui khidmat di kawasan tetapi juga melibatkan prestasi mereka semasa berbahas di dalam dewan.

Sayangnya, di alam maya, jarang kelihatan potongan video perbahasan atau siaran langsung sidang DUN Johor. Akibatnya, pengundi Johor tidak berpeluang untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di dalam dewan, siapa yang bersuara, dan bagaimana Menteri Besar atau exco menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

DUN Selangor pernah mengadakan kem pemukiman ADUN di Desaru, Johor pada 2024 dan atas dasar hormat, kami pernah menjemput Puad untuk hadir berkongsi pengalamannya mengenai DUN Johor.

Beliau ketika itu menyebut reformasi dewan bukan sahaja tanggungjawab Speaker, tetapi merupakan tanggungjawab kolektif semua ADUN. Menteri Besar, selaku salah seorang ADUN dan ketua badan eksekutif yang memegang kepercayaan majoriti, harus bekerjasama dengan Speaker untuk menjayakan reformasi tersebut. Jika ini berlaku, segala pencapaian daripada reformasi dewan itu sudah tentu akan turut menjadi kredit dan kejayaan kepada Menteri Besar sendiri.

Adakah Menteri Besar muda yang menang di bawah naungan sistem lama ini berani melakukan agenda reformasi DUN atau sekali lagi akan ‘menekan brek’? Sama ada Onn Hafiz akan terus elak perbahasan, inilah yang akan menjadi soalan utama selepas beliau memenangi semula jawatannya. –UTUSAN

LAU WENG SAN
Speaker Dewan Negeri Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN