Belanjawan 2027 perlu berpaksikan rakyat

Belanjawan 2027 perlu berpaksikan rakyat

BELANJAWAN yang baik bukan sekadar mengurus angka kewangan tetapi membina keyakinan rakyat terhadap masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali belanjawan negara dibentangkan, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada jumlah peruntukan yang diumumkan. Namun, ukuran sebenar sesebuah belanjawan bukan hanya berdasarkan besar kecil angka yang diperuntukkan, sebaliknya sejauh mana mampu menentukan arah pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dalam suasana dunia yang berdepan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, perkembangan teknologi pesat dan perubahan struktur sosial, Belanjawan 2027 perlu menjadi instrumen transformasi yang berani serta berpandangan jauh.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada sektor yang menjadi asas kekuatan negara, khususnya kesihatan, pendidikan dan penyelesaian isu banjir kerana ketiga-tiga bidang ini berkait rapat dengan daya tahan serta masa depan Malaysia.

Kesihatan merupakan asas penting dalam memastikan negara mempunyai rakyat yang produktif. Tanpa masyarakat yang sihat, keupayaan tenaga kerja akan terjejas, kos rawatan meningkat dan pertumbuhan ekonomi boleh terbantut.

Pengalaman ketika pandemik Covid-19 membuktikan sistem kesihatan awam perlu sentiasa diperkukuh agar negara bersedia menghadapi sebarang krisis kesihatan pada masa hadapan.

Justeru, Belanjawan 2027 perlu memberi perhatian kepada pembinaan hospital baharu, penaiktarafan kemudahan kesihatan sedia ada, penambahan tenaga pakar serta pemodenan sistem penyampaian perkhidmatan. Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, teleperubatan, rekod kesihatan elektronik dan analisis data masa nyata perlu diperluas bagi memastikan rakyat mendapat rawatan yang lebih cepat, tepat dan berkesan.

Pada masa sama, aspek kesihatan mental tidak boleh dipinggirkan. Tekanan kehidupan, cabaran ekonomi dan perubahan gaya hidup moden telah meningkatkan isu berkaitan kemurungan, kebimbangan serta gangguan emosi.

Belanjawan 2027 wajar mempercepat transformasi pendidikan melalui penyediaan kemudahan digital yang lebih menyeluruh, terutama di kawasan luar bandar.

Guru juga perlu menerima latihan berterusan supaya mereka mampu mengadaptasi teknologi moden dan melaksanakan kaedah pembelajaran yang lebih kreatif. Institusi pengajian tinggi (IPT) pula perlu diperkasa sebagai pusat penyelidikan serta inovasi bagi menghasilkan teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Dalam masa sama, isu banjir perlu ditangani melalui pendekatan yang lebih menyeluruh. Bencana ini tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah bermusim kerana kesannya semakin besar terhadap ekonomi, keselamatan dan kehidupan rakyat.

Kerajaan perlu mempercepat pembangunan sistem tebatan banjir moden, kolam takungan, saliran pintar serta penggunaan teknologi seperti satelit, penderia digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti risiko lebih awal.

Usaha memulihara kawasan tadahan air, mengawal pembangunan di kawasan berisiko serta memperkukuh penguatkuasaan alam sekitar juga perlu dilaksanakan secara konsisten.

Belanjawan 2027 merupakan peluang untuk membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. Pelaburan dalam kesihatan melahirkan rakyat yang produktif, pendidikan membentuk modal insan berkualiti, manakala penyelesaian banjir menjamin keselamatan serta kelangsungan pembangunan negara.

Belanjawan yang baik bukan sekadar mengurus angka kewangan tetapi membina keyakinan rakyat terhadap masa depan.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN