UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan dalam usaha memperkukuh budaya ilmu dan persuratan negara menerusi pelancaran buku Umar Al-Malqan, karya terbaharu Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Majlis pelancaran buku tersebut didahului dengan sesi Bicara Buku Sasterawan Negara yang menghimpunkan ahli akademik, mahasiswa, penggiat sastera serta pencinta buku untuk mengupas pemikiran, nilai dan mesej yang terkandung dalam karya berkenaan.
Sesi bicara itu dikendalikan oleh tokoh wartawan dan penganalisis media, Syed Munawar Syed Mustar, yang turut memandu perbincangan secara mendalam mengenai tema, latar serta signifikan karya tersebut dalam konteks kesusasteraan dan pembinaan pemikiran masyarakat.
Umar Al-Malqan merupakan sebuah karya yang mengangkat tema kepahlawanan, kesetiaan dan perjuangan melalui pengolahan kreatif yang mempertemukan warisan sastera dunia dengan pengalaman sejarah serta budaya alam Melayu.
Novel ini turut menampilkan semangat kepahlawanan Melayu-Islam yang berpaksikan maruah, keberanian dan kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran zaman.
Pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Profesor Ts. Dr. Norhana Abdul Halim, mewakili kepimpinan universiti.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan penerbitan karya tersebut sebagai sebahagian daripada komitmen UPNM untuk memperluaskan peranan institusi pengajian tinggi sebagai pusat pengembangan ilmu, pemikiran dan pembinaan peradaban.
Menurut beliau, usaha penerbitan karya sastera berkualiti itu selari dengan aspirasi universiti dalam membentuk masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dari aspek profesionalisme dan kepimpinan, malah memiliki kesedaran sejarah, jati diri dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Bahasa dan Penerbit UPNM atas komitmen berterusan dalam memperkasa penerbitan ilmiah dan karya persuratan universiti.
Dalam pada itu, beliau berkata UPNM berbangga apabila selepas karya Orang-Orang Kecil dan Yang Menjelma dan Menghilang, Anwar kembali mempersembahkan buah tangan terbaharunya melalui Umar Al-Malqan, iaitu sebuah skrip drama pentas yang dibukukan.
“Naskhah ini yang diistilahkan oleh Sasterawan Negara sebagai karya ‘metadaptasi’ sarat dengan pelbagai nilai termasuk kepahlawanan yang amat sinonim dengan UPNM, selain nilai kekeluargaan, keagamaan, keilmuan, kasih sayang dan kesetiaan, serta turut menyentuh aspek sejarah dan taktik peperangan secara tuntas,” kata Norhana.
Beliau berkata, dengan pengalaman luas dan kewibawaan pengarang, karya tersebut diyakini mampu memberikan pengalaman pembacaan yang signifikan, khususnya dalam pembinaan karakter pembaca termasuk warga universiti.
“Saya percaya apabila skrip ini dipentaskan kelak, ia akan memberikan penghayatan yang lebih mendalam terhadap pemikiran yang terkandung dalam Umar Al-Malqan,” katanya.
Beliau turut berharap agar buku skrip drama pentas tersebut dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat sebagai wadah untuk meneliti dan menghayati isu yang diketengahkan, sebagai suluh untuk mengimbau masa lalu dan meniti masa hadapan.
Sementara itu, Anwar berkata Umar Al-Malqanlahir daripada usaha kreatif yang mempertemukan warisan sastera dunia dengan pengalaman sejarah dan jiwa budaya alam Melayu.
Beliau yang juga Profesor Adjung di Pusat Bahasa UPNM berkata, karya tersebut merupakan antara hasrat beliau untuk meninggalkan sumbangan bermakna dalam konteks pembangunan ilmu dan persuratan di universiti berkenaan.
Menurut beliau, karya ini berakar daripada inspirasi novel Taras Bulba karya Nikolai Gogol yang kemudiannya melalui proses transformasi kreatif sebagai skrip drama pentas sebelum dibukukan sebagai sebuah karya baharu.
“Umar Al-Malqan mengangkat persoalan keberanian, kesetiaan, pengorbanan dan maruah bangsa. Jika dalam tradisi sastera dunia terdapat kisah kepahlawanan seperti Taras Bulba, maka karya ini berusaha menemukan gema baharu nilai tersebut dalam pengalaman sejarah dan budaya Melayu yang berteraskan iman, akal dan budi,” katanya.
Beliau berkata sastera berfungsi sebagai wahana penting untuk memahami perjalanan sesuatu bangsa serta mengekalkan hubungan antara generasi melalui warisan sejarah dan budaya.
Katanya lagi, karya yang baik bukan sahaja merakam masa lalu, tetapi membantu masyarakat memahami jati diri serta membina masa depan yang lebih bermakna.
Majlis berkenaan berakhir dengan pelancaran rasmi buku, penyerahan naskhah khas kepada tetamu kehormat serta sesi interaksi antara Sasterawan Negara bersama para pengunjung PBAKL 2026. –UTUSAN
DR. MHD. FAIZAL MHD RAMLI & WAN ANIS ILANI WAN KAMARUDIN
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










