TVE: Hubungkan teknologi dengan nilai Islam

TVE: Hubungkan teknologi dengan nilai Islam

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi laluan alternatif untuk pelajar yang lemah akademik sebaliknya platform utama melahirkan tenaga kerja global yang berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIKATNYA, Islam tidak pernah memisahkan ilmu teori daripada kemahiran praktikal. Al-Quran mengangkat martabat manusia yang bekerja dan memberi manfaat kepada masyarakat. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 105 bermaksud: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu.” 

Ayat ini menunjukkan Islam sangat menitikberatkan usaha, produktiviti dan tanggungjawab dalam kehidupan. Dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran teknikal dan vokasional merupakan sebahagian daripada amal soleh yang menyumbang pembangunan negara.

Dunia pekerjaan masa hadapan memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu mengendalikan teknologi moden.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), banyak pekerjaan rutin akan digantikan mesin dan sistem automasi. Namun, pekerjaan yang melibatkan kemahiran teknikal, kreativiti dan penyelesaian masalah akan terus mendapat permintaan tinggi. Oleh itu, TVET perlu menjadi pusat pembangunan teknologi masa hadapan dengan memberi penekanan kepada AI, data raya, keselamatan siber, automasi industri dan teknologi pintar. 

Pelajar TVET bukan sahaja perlu dilatih sebagai pekerja industri, malah dibentuk sebagai penginovasi, usahawan digital dan pencipta teknologi tempatan.

Pada masa sama, pembangunan teknologi mestilah dipandu oleh nilai akhlak dan tanggungjawab sosial. Islam menolak pembangunan yang hanya berasaskan keuntungan material tanpa keseimbangan moral dan rohani.

Dalam dunia AI yang semakin kompleks, nilai amanah sangat penting bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi seperti manipulasi data, penipuan digital dan eksploitasi manusia.

Selain aspek teknologi, TVET juga berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai ekosistem pelancongan pendidikan. Malaysia memiliki rangkaian kolej vokasional, politeknik, kolej komuniti dan universiti teknikal yang luas.

Institusi ini boleh dijadikan pusat rujukan pendidikan global melalui pameran teknologi, pertandingan kemahiran antarabangsa, seminar inovasi dan program latihan industri global. 

Pendekatan ini bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi setempat, malah memperkukuhkan imej Malaysia sebagai hab pendidikan teknologi di Asia.

Jerman, Jepun dan China membuktikan pendidikan vokasional mampu menjadi kekuatan ekonomi negara. Jerman berjaya melalui sistem dual TVET yang menggabungkan pembelajaran institusi dan latihan industri.

Jepun pula menekankan disiplin serta inovasi dalam budaya kerja teknikal, manakala China bergerak pantas dengan mengintegrasikan AI dan teknologi digital dalam sistem TVET mereka.

Malaysia perlu mengambil iktibar daripada negara-negara itu dengan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri.

Kurikulum TVET perlu sentiasa relevan dengan keperluan semasa, manakala graduan teknikal harus diberikan pengiktirafan setanding dengan profesion lain kerana mereka memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Masa hadapan negara bergantung pada kemampuan kita melahirkan generasi muda yang memiliki ilmu, kemahiran dan nilai kemanusiaan yang seimbang. 

TVET bukan lagi laluan alternatif untuk pelajar yang lemah akademik sebaliknya platform utama melahirkan tenaga kerja global yang berdaya saing. 

Jika TVET berjaya ditransformasikan dengan integrasi AI, pelancongan pendidikan dan nilai Islam, maka Malaysia berpotensi menjadi negara maju yang unggul dari sudut ekonomi, teknologi dan peradaban manusia. –UTUSAN

MOHD AMMYRUL ASHRAF SAIRAN

Unit Pengajian Islam dan Falsafah,

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN