BERDASARKAN statistik setakat Oktober 2025, sebanyak 64.3 peratus penderma darah di Malaysia adalah mereka yang tegar menderma dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Walaupun angka ini menunjukkan komitmen masyarakat, namun keperluan terhadap pendermaan darah secara berterusan dan konsisten sangat kritikal.
Sel darah merah hanya boleh disimpan selama 42 hari, manakala platelet hanya bertahan lima hari.
Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 hingga 2,500 unit darah setiap hari untuk menampung keperluan pesakit di hospital seluruh negara. Jika kadar pendermaan menurun, stok darah akan berada pada tahap kritikal dan boleh menjejaskan rawatan pesakit.
Namun begitu, masih ramai yang ragu-ragu untuk tampil sebagai penderma kerana terpengaruh dengan pelbagai mitos. Antaranya, pendermaan darah menyebabkan badan menjadi lemah.
Hakikatnya, tubuh hanya kehilangan sekitar 450 mililiter (ml) darah semasa proses pendermaan, jumlah yang kecil berbanding keseluruhan isipadu darah dalam badan.
Tubuh manusia mempunyai keupayaan semula jadi untuk menggantikan darah yang hilang dalam tempoh beberapa hari hingga minggu. Kebanyakan penderma boleh kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa selepas berehat seketika.
Ada juga yang menganggap derma darah boleh menyebabkan jangkitan, sedangkan semua peralatan yang digunakan semasa proses pendermaan adalah steril dan sekali guna, termasuk jarum serta beg darah yang tidak pernah dikitar semula.
Risiko jangkitan hampir sifar kerana setiap langkah dijalankan mengikut protokol ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Pusat Darah Negara.
Sebelum proses bermula, penderma akan melalui pemeriksaan kesihatan ringkas. Selepas darah diambil, ia akan melalui saringan makmal yang teliti untuk mengesan penyakit berjangkit seperti HIV, hepatitis B dan C, serta sifilis. Hanya darah yang bebas daripada sebarang jangkitan akan digunakan.
Mitos lain ialah hanya mereka yang benar-benar sihat sepenuhnya boleh menderma. Syarat utama hanyalah penderma berada dalam keadaan sihat pada hari pendermaan, berumur antara 18 hingga 60 tahun dan memenuhi berat badan minimum yang ditetapkan.
Terdapat tanggapan darah yang didermakan tidak digunakan sepenuhnya. Hakikatnya, setiap unit darah yang dikumpulkan akan diproses dengan teliti dan diasingkan kepada komponen utama seperti plasma, platelet dan sel darah merah.
Plasma digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah pembekuan darah. Platelet pula diperlukan bagi pesakit kanser atau mereka yang menjalani kemoterapi, manakala sel darah merah digunakan untuk pesakit yang kehilangan darah akibat pembedahan atau kemalangan. Dengan cara ini, satu beg darah boleh membantu lebih daripada seorang pesakit.
Kajian menunjukkan derma darah secara berkala boleh membantu mengurangkan risiko penyakit tertentu dan memberi peluang kepada individu untuk memantau tahap kesihatan diri.
Marilah kita memperbaharui tekad untuk menjadikan pendermaan darah sebagai satu gaya hidup yang berterusan.-UTUSAN
DR. NOR RAIHAN MOHAMMAD SHABANI
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Bertam










