KES seorang guru wanita berusia 42 tahun di Seremban yang didakwa atas lima pertuduhan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Kanun Keseksaan (Akta 574), melibatkan amang seksual fizikal serta bukan fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun memberi tamparan hebat. Ini kerana jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak boleh dilihat melalui lensa stereotaip jantina semata-mata.
Tumpuan utama mesti diberi kepada perlindungan mangsa, pencegahan eksploitasi digital, ketegasan institusi dan penambahbaikan sistem saringan terhadap individu yang mempunyai akses kepada kanak-kanak.
Kerumitan isu ini menuntut reformasi segera dalam sistem kawalan serta perlindungan kanak-kanak:
Saringan tanpa mengira jantina: Garis panduan integriti dan saringan psikologi berkala ini dikuatkuasakan tanpa berat sebelah terhadap semua warga pendidik tanpa mengira jantina. Tiada kelonggaran boleh diberikan kepada guru wanita.
Tindakan serta-merta terhadap aduan: Mana-mana guru yang berdepan aduan berasas dikeluarkan serta-merta daripada ekosistem sekolah tanpa kompromi. Gunakan kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 untuk merehatkan atau menggantung kerja mereka tanpa perlu menunggu kes tular.
Penambahbaikan pendaftaran pesalah: Sistem daftar pesalah seksual terhadap kanak-kanak diperkukuh sebagai alat saringan institusi, bukan sebagai pangkalan data awam terbuka.
Majikan, sekolah, pusat jagaan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak berautoriti yang berkaitan perlu mempunyai saluran rasmi untuk membuat semakan latar belakang secara sah, terkawal dan boleh diaudit sebelum pemangsa mendapat akses kepada murid.
Latihan wajib perlindungan kanak-kanak: Semua institusi yang bekerja dengan kanak-kanak perlu menyediakan latihan berkala berkaitan keselamatan kanak-kanak, termasuk pengesanan awal jerat dalam talian), etika komunikasi digital, sempadan profesional, pelaporan aduan dan sokongan kepada mangsa.
Sokongan psikososial: Mangsa jenayah seksual memerlukan perlindungan, kaunseling trauma, sokongan keluarga dan persekitaran yang tidak menghukum demi pemulihan sepenuhnya.
Perlindungan kepada generasi masa hadapan mesti dizahirkan melalui ketegasan sistem yang tegas, adil, berasaskan data dan bebas daripada stereotaip. Jangan biarkan anak-anak kita, sama ada lelaki mahupun perempuan, menderita dalam sepi akibat kegagalan kita membaca taktik licik pemangsa di sekeliling mereka. –UTUSAN
PROFESOR DR. NORHASMAH SULAIMAN & DR. FATIMAH AHMAD FAUZI
Ketua Wanita IKRAM Malaysia &
Pengerusi Pertubuhan Malaysia
Membanteras Pornografi (MAP)










