GENERASI muda sudah lama meninggalkan siaran televisyen. Mereka tidak lagi “menonton TV”. Mereka tidak peduli saluran apa, waktu berapa, atau siapa penyiar asalnya. Selagi adanya kandungan muncul di TikTok, YouTube atau Netflix, itu sudah memadai.
Industri TV telah terlalu lama selesa dengan model perniagaan lama: Iklan, slot masa, rating Nielsen, dan monopoli perhatian rakyat. Tetapi internet mengubah semuanya. Kini perhatian manusia bukan lagi dimiliki stesen TV, tetapi dimiliki algoritma. Dan buat masa ini, algoritmalah pemenangnya.
Bagi kelompok warga emas dan B40, televisyen linear bukan teknologi lapuk. Ia masih keperluan asas maklumat dan hiburan. Tetapi industri media hari ini semakin tidak peduli kepada kelompok ini kerana mereka bukan lagi kelompok paling menguntungkan.
Apabila semua kandungan dipindahkan ke platform digital, akses kepada hiburan dan maklumat perlahan-lahan berubah daripada hak umum kepada sesuatu yang bergantung pada kemampuan membeli internet, peranti, dan langganan.
Sekarang untuk “menonton percuma”, rakyat perlukan telefon pintar, ‘Smart TV’, akaun aplikasi penstriman, internet stabil, data besar dan kemahiran digital tertentu. Kita sedang mencipta jurang media baharu secara senyap.
Lebih menyedihkan, TV dahulu pernah menjadi ruang sosial nasional. Satu negara menonton rancangan yang sama pada waktu yang sama. Drama yang sama. Berita yang sama.
Perlawanan yang sama. Ia mencipta pengalaman bersama yang membentuk budaya popular negara. Hari ini semuanya berpecah. Ayah di Facebook. Anak di TikTok. Ibu di aplikasi drama Korea. Datuk masih mencari siaran TV3.
Algoritma telah memecahkan pengalaman kolektif masyarakat menjadi gelembung peribadi masing-masing.
Mungkin siaran TV tidak akan mati sepenuhnya, tetapi ia semakin dilupakan, Ia hanyalah medium untuk mereka yang tertinggal daripada arus digital. Medium untuk warga emas. Medium untuk kawasan internet lemah.
Medium untuk acara siaran langsung seperti bola sepak dan berita terkini. Apabila negara terlalu ghairah mengejar masa depan, yang paling mudah dilupakan ialah rakyat yang masih bertatih untuk sampai ke sana. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK
Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak










