DALAM politik ini, pergaduhan dan perebutan kuasa itu benda biasa. Mana-mana gabungan parti pun akan ada konflik dalaman, perang ego, cantas mencantas dan perebutan pengaruh. Itu memang lumrah politik.
Tetapi persoalannya, kenapa ada gabungan politik baru sepenggal dah mula bercelaru, sedangkan Barisan Nasional (BN) mampu bertahan lebih 60 tahun?
Jawapannya sebab BN ada struktur yang jelas dan lengkap.
BN bukan sekadar gabungan untuk menang pilihan raya. BN dibina dengan sistem yang tersusun. UMNO mewakili Melayu, MCA mewakili Cina, MIC mewakili India, ditambah pula dengan parti-parti Sabah dan Sarawak.
Dalam masa sama, struktur kepimpinan BN juga jelas. Presiden UMNO secara tradisinya akan menjadi Pengerusi BN. Kalau BN membentuk kerajaan sendiri, maka pengerusi BN itulah yang akan jadi Perdana Menteri.
Maksudnya dalam BN, soal siapa ketua itu jelas. Semua parti komponen faham struktur dan hierarki tersebut sejak dulu lagi.
Sebab itu walaupun BN juga pernah bergaduh sesama sendiri, sistem itu masih mampu bertahan lama kerana setiap parti tahu peranan masing-masing.
Berbanding dengan gabungan politik hari ini, strukturnya nampak lebih kabur.
Dalam Pakatan Harapan (PH) misalnya, hari ini semua menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju tetapi selepas Anwar nanti, siapa sebenarnya yang akan mengetuai PH? Adakah PKR? DAP? Parti Amanah Negara (Amanah)? Perkara ini tidak begitu jelas.
Perikatan Nasional (PN) pula lebih canggung. Hari ini Pengerusi PN datang daripada seorang Naib Presiden Pas, sedangkan presiden-presiden parti lain hanya menjadi Timbalan Pengerusi. Dari sudut hierarki politik, nampak agak pelik.
Hakikatnya manusia ini bila terlalu penat dengan pergaduhan, akhirnya akan mula rindu kepada kestabilan.
Sama macam orang hari ini kadang-kadang rindu zaman dulu-dulu. Rindu suasana yang lebih tenang, lebih stabil dan kurang bercelaru. Dalam politik pun begitu.
Rakyat Malaysia hari ini sudah terlalu letih dengan politik yang tidak habis-habis bergaduh. Perebutan kuasa sana sini. Hari ini kawan, esok lawan. Hari ini bercakap lain, esok berpakat lain.
Sedangkan dunia sedang bergerak menuju cabaran yang jauh lebih besar.
Ekonomi dunia tidak menentu. Kos sara hidup makin tinggi. Persaingan serantau makin sengit. Pelabur luar melihat kepada kestabilan sesebuah negara sebelum mereka yakin untuk datang melabur.
Dalam keadaan seperti ini, negara perlukan kestabilan politik. Negara perlukan sebuah gabungan yang mempunyai struktur yang jelas, pengalaman mentadbir dan sistem yang sudah terbukti mampu bertahan lama.
Sebab itu tidak salah jika rakyat hari ini mula kembali memandang BN sebagai solusi untuk menstabilkan semula politik negara.
Bukan kerana BN sempurna.
Tetapi kerana dalam keadaan politik yang semakin bercelaru hari ini, ramai mula sedar kestabilan itu sebenarnya sangat mahal nilainya.
Kembalilah ke Rumah Bangsa. Bangsa Negara Malaysia yang sebenar. –UTUSAN
JAMAL RAFAIE JAKIRAN
Kuala Terengganu










