AGAMA Islam memiliki kedudukan istimewa dalam sistem perundangan negara. Islam berfungsi sebagai agama Persekutuan, manakala Yang di-Pertuan Agong memegang amanah sebagai Ketua Agama Islam bagi Malaysia.
Dalam konteks ini, institusi beraja berkembang sebagai kesinambungan sejarah kepimpinan Melayu serta menjadi lambang perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.
Sejarah kesultanan Melayu di Malaysia berakar sejak Kerajaan Langkasuka dan kemudiannya Kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada 1400 masihi. Daripada warisan ini, lahir pelbagai institusi kesultanan negeri.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong pula muncul hasil cadangan Suruhanjaya Reid ketika merangka Perlembagaan Persekutuan, sebagai reaksi terhadap penentangan rakyat terhadap Malayan Union yang cuba melemahkan institusi raja-raja Melayu.
Pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja bersidang dan memilih Tuanku Abdul Rahman sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama. Sejak itu, institusi Yang di-Pertuan Agong terus kukuh, relevan dan menjadi tonggak kestabilan serta perpaduan negara.
Islam menekankan perpaduan dan menolak perpecahan. Rasulullah SAW menggambarkan perpaduan umat seperti sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Prinsip ini jelas menunjukkan kekuatan masyarakat lahir daripada kesatuan dan kepimpinan yang dipatuhi.
Sejarah Islam turut membuktikan kepentingan perpaduan melalui Perang Badar yang menyaksikan kemenangan umat Islam walaupun bilangan mereka kecil. Sebaliknya, dalam Perang Hunain, umat Islam hampir tewas akibat sikap terlalu yakin dan kurang perpaduan sebelum akhirnya kembali bersatu di bawah pimpinan Rasulullah SAW.
Dalam konteks negara, prinsip Piagam Madinah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat berdaulat yang menjamin hak semua pihak secara adil.
Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik serta perpaduan rakyat terpelihara berlandaskan Perlembagaan.
Perpaduan hanya dapat dicapai apabila rakyat bersikap terbuka, berlapang dada dan saling menghormati. Perpaduan ini akan menguatkan negara, sebagaimana peribahasa Melayu, ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.
Islam turut mengingatkan umatnya agar tidak berselisih kerana perpecahan melemahkan kekuatan. Oleh itu, ketaatan kepada pemimpin dalam perkara makruf menjadi asas penting dalam mengekalkan kestabilan masyarakat dan negara.
Secara tuntas, institusi raja berperlembagaan menjadi tunjang utama perpaduan dan keharmonian di Malaysia. Hubungan erat antara raja dan rakyat perlu terus dipelihara kerana merupakan asas kepada kestabilan negara.
Dalam sistem ini, raja dan rakyat berperanan saling melengkapi demi memastikan negara terus aman, bersatu dan makmur di bawah naungan Perlembagaan dan rahmat Allah SWT. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Profesor Madya,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










