KONTROVERSI melibatkan sekatan visa terhadap beberapa anggota delegasi Iran serta penolakan kemasukan pengadil Somalia yang dilantik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuka semula perdebatan lama mengenai sejauh mana sukan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
Apa yang berlaku bukan sekadar isu pentadbiran imigresen. Ia adalah satu tamparan besar terhadap kredibiliti FIFA dan naratif bahawa bola sepak mampu mengatasi segala perbezaan geopolitik.
Jika individu yang layak menyertai Piala Dunia melalui merit masih boleh dihalang kerana faktor politik, adakah Piala Dunia benar-benar milik seluruh dunia?
Lebih membimbangkan, FIFA sendiri dilihat tidak mampu berbuat apa-apa. Selama berdekad-dekad, FIFA dikenali sebagai organisasi yang sangat berpengaruh. Negara yang ingin menjadi tuan rumah Piala Dunia perlu memenuhi pelbagai syarat ketat. Infrastruktur mesti dinaik taraf. Undang-undang tertentu perlu disesuaikan. Jaminan keselamatan, pengangkutan dan kemudahan kepada pasukan, pegawai, media serta penaja mesti diberikan.
Inilah hakikat yang mungkin sukar diterima oleh ramai peminat bola sepak. Sebesar mana pun FIFA, kuasanya tetap terhad apabila berhadapan dengan kedaulatan sesebuah negara. Keputusan mengenai siapa yang boleh memasuki sesebuah negara bukan ditentukan oleh FIFA tetapi oleh kerajaan negara tersebut.
Keadaan ini meletakkan FIFA dalam kedudukan yang sangat janggal. Bagaimana sebuah organisasi yang mendakwa mentadbir bola sepak dunia tidak mampu menjamin kemasukan pegawai yang dilantiknya sendiri?
Bagaimana sebuah kejohanan yang kononnya meraikan keterangkuman global boleh berlangsung apabila terdapat individu yang disekat daripada mengambil bahagian atas faktor yang langsung tidak berkaitan dengan bola sepak? Lebih penting lagi, apakah jaminan situasi seperti ini tidak akan berulang pada masa hadapan?
Bayangkan sekiranya negara tuan rumah pada masa hadapan mempunyai konflik diplomatik dengan beberapa negara peserta.
Adakah pemain, jurulatih, pengadil atau pegawai akan terus menjadi mangsa pertimbangan politik? Jika jawapannya ya, maka bola sepak sebenarnya sudah lama kalah kepada politik.
Apa yang berlaku kepada Iran dan pengadil Somalia bukan sekadar isu dua individu atau satu negara. Ia menunjukkan dalam dunia moden yang semakin berpecah oleh konflik geopolitik, sukan juga tidak lagi kebal daripada tekanan politik.
Ironinya, FIFA sering melaungkan slogan mengenai kesaksamaan, kepelbagaian dan perpaduan global. Namun apabila prinsip-prinsip tersebut diuji dalam situasi sebenar, organisasi itu dilihat tidak mempunyai kuasa untuk mempertahankannya.
Mungkin inilah pelajaran paling penting daripada kontroversi ini. Selama ini ramai menyangka FIFA adalah organisasi paling berkuasa dalam dunia bola sepak. Piala Dunia 2026 membuktikan terdapat kuasa yang jauh lebih besar daripada FIFA, iaitu kuasa politik negara.
Persoalan yang perlu direnungkan bukanlah siapa yang akan menjulang trofi di penghujung kejohanan. Sebaliknya, persoalannya ialah sama ada FIFA masih mampu mempertahankan prinsip bola sepak adalah milik semua.
Kerana jika penyertaan dalam Piala Dunia boleh ditentukan oleh pertimbangan politik sebelum wisel pertama ditiupkan, maka kekalahan terbesar kejohanan ini mungkin bukan oleh mana-mana pasukan. Sebaliknya, kekalahan terbesar adalah milik FIFA sendiri. Dan yang paling menyedihkan, yang menang sekali lagi ialah politik. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD NIZAM NAZARUDIN
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia










