TINDAKAN memandu selepas mengambil alkohol bukan sekadar kecuaian biasa, sebaliknya perbuatan yang boleh dianggap sebagai jenayah terhadap masyarakat.
Individu yang meminum alkohol sedar bahan tersebut akan menjejaskan pertimbangan, koordinasi badan dan keupayaan mereka mengawal kenderaan.
Namun, mereka tetap memilih untuk memegang stereng dan mempertaruhkan nyawa orang lain.
Akibatnya, mangsa yang terkorban selalunya terdiri daripada individu tidak bersalah seperti ibu bapa yang mencari rezeki, anak muda yang mempunyai masa hadapan cerah atau ketua keluarga yang menjadi tempat bergantung harapan.
Walaupun jumlah kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk tidak setinggi kesalahan jalan raya lain, namun setiap nyawa yang terkorban amat bernilai dan tidak mampu diganti.
Statistik keselamatan jalan raya menunjukkan pemandu di bawah pengaruh alkohol mempunyai risiko jauh lebih tinggi untuk menyebabkan kemalangan berbanding pemandu yang berada dalam keadaan sedar.
Situasi ini membuktikan pemandu mabuk bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam hak keselamatan pengguna jalan raya lain yang mematuhi undang-undang.
Kerajaan sememangnya mengambil langkah tegas dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Namun, hukuman semata-mata belum cukup untuk membendung masalah ini sepenuhnya. Pihak berkuasa perlu melaksanakan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk menetapkan had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) yang lebih ketat mengikut piawaian antarabangsa.
Langkah ini penting kerana gangguan terhadap fungsi badan sebenarnya berlaku lebih awal sebelum seseorang kelihatan mabuk secara fizikal.
Operasi sekatan jalan raya perlu dijalankan secara konsisten, khususnya di kawasan pusat hiburan dan lokasi berisiko tinggi.
Operasi seperti ini tidak boleh dilakukan secara bermusim sahaja, sebaliknya mesti diperkasakan sepanjang masa bagi meningkatkan rasa gerun dalam kalangan pemandu yang tidak bertanggungjawab.
Premis hiburan dan restoran yang menjual alkohol perlu memikul tanggungjawab sosial terhadap pelanggan mereka. Pengusaha premis tidak seharusnya hanya mengejar keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan awam.
Mereka boleh menyediakan perkhidmatan e-hailing atau membantu pelanggan mendapatkan pengangkutan alternatif jika pelanggan didapati tidak lagi mampu memandu dengan selamat.
Selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga wajar diwajibkan membayar pampasan kepada keluarga mangsa. Langkah ini bukan sahaja memberi keadilan kepada waris yang kehilangan insan tersayang, malah menjadi pengajaran besar kepada pesalah tentang kesan buruk tindakan mereka.
Kita tidak boleh terus membiarkan jalan raya menjadi medan maut akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu. Kesedaran tentang bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol perlu diperkasakan melalui kempen keselamatan jalan raya yang lebih agresif dan berkesan.
Masyarakat juga perlu bersama-sama menolak budaya memandu selepas minum alkohol demi melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Ketegasan undang-undang perlu bergerak seiring dengan kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial masyarakat. Kerjasama antara pihak berkuasa, pengusaha premis dan orang ramai amat penting bagi memastikan tiada lagi nyawa yang terkorban akibat pemandu mabuk.
Setiap nyawa yang hilang merupakan kehilangan besar kepada keluarga dan negara. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk memastikan jalan raya negara benar-benar selamat dan bebas daripada ancaman pemandu mabuk.-UTUSAN
SITI NOR HADIJAH MD. SUPAAT
Timbalan Pendaftar,
Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA),
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam










