MALAYSIA tidak terkecuali daripada memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelestarian sumber semula jadi terus terpelihara.
Justeru, pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bukan sekadar satu inisiatif dasar tetapi merupakan gerakan nasional yang menuntut penyertaan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.
Usaha ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan penanaman pokok dan pemeliharaan alam sekitar.
Perkembangan positif dapat dilihat apabila majoriti rakyat Malaysia kini semakin memahami peranan penghijauan dalam memastikan kelestarian ekosistem negara.
Perkara ini dibuktikan melalui kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang menilai reaksi awam terhadap program tersebut di seluruh negara. Kajian melibatkan 971 responden dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, memberikan gambaran menyeluruh mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap inisiatif penghijauan negara.
Kajian yang dijalankan sepanjang 2025 itu menggunakan kaedah soal selidik dalam talian serta temu bual bersemuka bagi menilai tahap pengetahuan, persepsi dan penyertaan masyarakat.
Sebagai agensi peneraju pelaksanaan di Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memikul tanggungjawab besar memastikan setiap usaha memberi impak nyata dan berpanjangan.
Peranan JPSM tidak terhad kepada penanaman pokok semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan ekosistem pelaksanaan termasuk penyediaan anak benih berkualiti, pemilihan lokasi strategik, pemantauan pertumbuhan serta pendidikan dan penglibatan masyarakat.
Kejayaan sebenar kempen ini, menurut pihak JPSM, tidak hanya diukur melalui jumlah pokok yang ditanam tetapi sejauh mana ia membentuk kesedaran kolektif masyarakat untuk menghargai dan memelihara alam sekitar secara berterusan.
Dapatan kajian menunjukkan tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap Program Penghijauan Malaysia berada pada tahap yang memberangsangkan. Lebih 62 peratus responden menyatakan mereka mengetahui tentang kempen ini, manakala selebihnya mula mengenali inisiatif tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Peningkatan ini menunjukkan usaha promosi dan penyebaran maklumat oleh agensi kerajaan serta organisasi berkaitan mula membuahkan hasil.
Kajian turut mendapati majoriti responden mula mengetahui program ini selepas 2021, selaras dengan pelaksanaan kempen penanaman pokok secara lebih meluas di seluruh negara.
Antara dapatan penting ialah peranan media sosial sebagai medium utama penyebaran maklumat.
Hampir 49.4 peratus responden mengenali kempen ini melalui platform digital, menjadikannya saluran komunikasi paling berkesan. Ini menunjukkan keperluan pendekatan komunikasi yang lebih kreatif, segar dan berimpak tinggi dalam menyampaikan naratif penghijauan.
Sehubungan itu, JPSM terus memperkukuh strategi komunikasi digital dengan menekankan kandungan interaktif seperti penceritaan visual, perkongsian kejayaan komuniti serta penglibatan pencipta kandungan digital. Pendekatan ini dilihat lebih sesuai dengan generasi muda yang banyak berinteraksi melalui media sosial dan kandungan visual.
Selain media sosial, maklumat program turut disebarkan melalui aktiviti komuniti seperti gotong-royong, kempen kesedaran, ceramah awam serta laporan media arus perdana. Gabungan komunikasi ini membantu memperluas capaian maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Kajian FRIM juga menunjukkan persepsi yang sangat positif terhadap kepentingan penanaman pokok. Sebanyak 99.4 peratus responden menyatakan bahawa penanaman pokok adalah penting, manakala 95.4 peratus menyatakan hasrat untuk menanam pokok pada masa hadapan.
Dapatan ini menggambarkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap peranan pokok dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, meningkatkan kualiti udara serta mengurangkan kesan perubahan iklim.
Selain itu, program ini turut dilihat memberi kesan positif terhadap pemahaman masyarakat mengenai kepentingan kawasan hijau dan hutan dalam ekosistem negara. Ia juga menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti serta peningkatan kualiti hidup melalui persekitaran yang lebih hijau dan sihat.
Kajian turut menunjukkan bahawa program ini berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan melalui aktiviti berkaitan penyediaan anak benih, landskap serta peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan.
Pelaksanaan program ini juga bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat. Kolaborasi ini membolehkan pelbagai aktiviti seperti penanaman pokok komuniti, kempen kesedaran serta pendidikan alam sekitar dilaksanakan secara lebih berkesan.
Walaupun dapatan kajian menunjukkan persepsi yang positif, beberapa cadangan penambahbaikan turut dikemukakan. Antaranya termasuk pengukuhan pendidikan alam sekitar di sekolah dan komuniti, peluasan penggunaan teknologi digital dalam pemantauan penanaman pokok serta penambahbaikan kempen kesedaran melalui media sosial.
Kajian turut mencadangkan penambahbaikan sistem pendaftaran dan pemantauan pokok bagi memastikan data pelaksanaan lebih tepat dan mudah diakses pihak berkaitan. –UTUSAN
DATUK ZAHARI IBRAHIM
Bekas Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia










