HARI Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik. Tarikh ini melambangkan pengiktirafan terhadap peranan besar guru dalam membina negara bangsa. Sumbangan mereka dapat dilihat sejak era Laporan Razak 1956 yang menjadi asas penting kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan.
Guru hari ini bukan lagi sekadar penyampai ilmu di bilik darjah. Mereka memikul tanggungjawab besar sebagai pembentuk sahsiah, pemupuk nilai murni, ejen perpaduan dan pencorak generasi masa hadapan negara. Dalam era pendidikan moden yang dipacu teknologi serta perubahan global, tugas tersebut menjadi semakin kompleks dan mencabar.
Walaupun pelbagai dasar dan inisiatif diperkenalkan, namun masih ramai pendidik terbeban dengan tugas pentadbiran, dokumentasi dan pelbagai tugasan sampingan yang mengganggu fokus terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sistem pendidikan negara, khususnya sejauh mana guru benar-benar diberi ruang untuk melaksanakan tugas hakiki mereka.
Justeru, tindakan lebih serius perlu dilaksanakan bagi menangani masalah tersebut. Reformasi pendidikan tidak boleh terus kekal sebagai slogan tanpa kesan nyata di peringkat akar umbi. Sistem pendidikan negara memerlukan transformasi yang lebih berani, tegas dan menyeluruh.
Pendigitalan sistem pengurusan sekolah, penyelarasan data secara bersepadu dan pengurangan birokrasi perlu diberikan perhatian utama. Pelaksanaan pula mesti dilakukan secara konsisten dan bukan sekadar tinggal dalam bentuk perancangan di atas kertas.
Pada masa sama, latihan dan pembangunan profesional guru perlu lebih bersasar serta selari dengan keperluan sebenar di sekolah. Guru juga wajar diberikan ruang untuk berinovasi dan melaksanakan kajian tindakan bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran.
Peranan ibu bapa dan masyarakat turut penting dalam membentuk ekosistem pendidikan yang sihat dan berkesan. Tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada guru. Tanpa sokongan keluarga dan komuniti, usaha sekolah dalam membentuk sahsiah serta disiplin pelajar akan menjadi semakin sukar.
Pendidikan yang berjaya memerlukan sokongan semua pihak, bukannya bergantung kepada guru semata-mata.
Pendidikan berkualiti juga menjadi asas penting kepada pembangunan ekonomi negara. Sistem pendidikan yang baik mampu menarik pelaburan, melahirkan tenaga kerja berkualiti dan meningkatkan daya saing negara pada masa hadapan.
Walaupun dasar pendidikan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, namun matlamat utamanya tetap sama, iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) serta prinsip Rukun Negara.
Namun matlamat tersebut hanya dapat dicapai jika pelaksanaannya disokong oleh sistem yang cekap, guru yang kompeten dan sejahtera serta masyarakat yang bertanggungjawab.
Penghargaan terhadap guru juga tidak seharusnya terhenti pada sambutan Hari Guru semata-mata. Pengiktirafan itu perlu diterjemahkan melalui dasar yang benar-benar membela kebajikan pendidik, mengurangkan beban tugas bukan pengajaran, memperkukuh kesejahteraan profesional dan membuka laluan kerjaya yang lebih jelas.
Pendekatan menyeluruh seperti ini mampu memperkasakan martabat profesion keguruan agar terus dihormati sepanjang masa dan bukannya hanya ketika sambutan tahunan.
Sejarah pendidikan negara turut membuktikan profesion keguruan mempunyai legasi yang besar dalam pembinaan bangsa. Institusi seperti Sultan Idris Training College melahirkan ramai tokoh pendidikan, pejuang kemerdekaan dan pemimpin negara.
Tokoh seperti Za’ba, Harun Aminurrashid dan Abdul Rahman Talib menjadi bukti guru ialah tonggak utama pembinaan negara sejak dahulu hingga kini.
Jelasnya, guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pembina masa hadapan negara. Justeru, penghargaan terhadap mereka perlu diterjemahkan melalui komitmen berterusan untuk memperkasa sistem pendidikan negara.
Melalui reformasi yang benar-benar berkesan, jasa pendidik akan dihargai bukan sekadar dalam ucapan tetapi melalui tindakan yang memberi makna sepanjang masa. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pensyarah Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).










