Mampukah parti Bersama gegar landskap politik?

Mampukah parti Bersama gegar landskap politik?

KEWUJUDANNYA dipercayai mampu memberi kesan kepada landskap politik semasa, khususnya dalam blok Pakatan Harapan (PH).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Parti Bersama Malaysia (Bersama) oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mula menarik perhatian sebahagian kelompok milenial, khususnya golongan kelas pertengahan di kawasan bandar dan separa bandar.

Kemunculan parti ini dilihat membawa pendekatan berbeza berbanding parti politik sedia ada, terutama melalui penekanan terhadap sistem pentadbiran moden dan penggunaan teknologi digital.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kekuatan sebenar parti tersebut, namun kewujudannya dipercayai mampu memberi kesan kepada landskap politik semasa, khususnya dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Parti Bersama dijangka lebih berpotensi menggugat kedudukan parti-parti besar lain seperti UMNO dan Pas yang sudah lama bertapak serta memiliki jaringan akar umbi yang kukuh.

Pengaruh Rafizi dalam perjalanan politik PKR selama ini juga sukar dinafikan. Ramai pemerhati politik berpandangan beliau memainkan peranan besar dalam mengukuhkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri ke-10.

Atas faktor itu, kemunculan Bersama dilihat mampu menarik sebahagian penyokong dan pemimpin bawahan PKR untuk beralih arah kepada platform politik baharu tersebut.

Dari sudut penjenamaan, Bersama tampil dengan identiti yang lebih segar melalui simbol kancil serta slogan ‘Berwibawa, Rasional dan Progresif’.

Pendekatan ini memberi gambaran parti tersebut cuba mengetengahkan politik generasi baharu yang lebih tersusun, pragmatik dan berorientasikan teknologi, sekali gus menolak imej politik lama yang sering dikaitkan dengan budaya warlord dan perebutan kuasa.

Difahamkan juga terdapat peningkatan penyertaan golongan muda Melayu daripada pelbagai parti politik ke dalam Bersama. Perkembangan ini memberi petunjuk wujud segmen pengundi yang sedang mencari alternatif politik baharu yang lebih moden dan sistematik.

Komposisi keahlian yang terdiri daripada pelbagai kaum turut memperlihatkan usaha parti tersebut untuk membina sokongan lebih inklusif.

Namun begitu, Bersama tetap berdepan cabaran besar untuk menembusi kawasan luar bandar kerana pengaruhnya ketika ini lebih tertumpu di bandar dan separa bandar. Tambahan pula, parti tersebut masih belum mempunyai struktur akar umbi yang kukuh di peringkat cabang dan ranting.

Kebergantungan terhadap media sosial semata-mata juga mungkin menyukarkan usaha memperluaskan pengaruh secara menyeluruh.

Apa pun, kemunculan Bersama menandakan landskap politik negara sedang melalui fasa perubahan baharu.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kekuatan sebenar parti ini hanya dapat diukur berdasarkan kemampuan mereka membina sokongan akar umbi serta menawarkan pendekatan politik yang benar-benar berbeza daripada amalan politik tradisional sedia ada. – UTUSAN

CTJ
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN