DARIPADA kandungan di TikTok dan Facebook hinggalah kepada carian Google serta cadangan video YouTube, hampir semua maklumat yang muncul di skrin pengguna hari ini ditentukan oleh algoritma.
Persoalannya, sejauh mana masyarakat benar-benar memahami bagaimana kandungan tersebut dipilih dan dipaparkan kepada mereka?
Apabila algoritma menentukan apa yang dilihat pengguna, ia secara langsung mempengaruhi persepsi terhadap realiti. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila masyarakat gagal membezakan antara fakta sahih, propaganda digital dan kandungan manipulatif yang dijana kecerdasan buatan (AI).
Literasi algoritma perlu dilihat sebagai agenda nasional baharu dalam memperkukuh masyarakat digital yang matang dan berdaya tahan.
Literasi algoritma bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi, tetapi keupayaan memahami bagaimana sistem digital mempengaruhi pemikiran, emosi dan tindakan pengguna. Ia merangkumi tiga elemen utama iaitu kesedaran, kefahaman dan kawalan.
Kesedaran bermaksud pengguna memahami bahawa algoritma sentiasa mengumpul data serta memprofil tingkah laku digital mereka.
Kefahaman pula merujuk kepada pengetahuan bahawa kandungan yang dipaparkan bukan berlaku secara rawak, sebaliknya dipacu oleh corak interaksi dan kecenderungan pengguna.
Kawalan pula melibatkan keupayaan mengurus privasi, memilih sumber maklumat berkualiti dan mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada suapan automatik platform.
Justeru, usaha memperkukuh literasi algoritma memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan institusi pendidikan, kerajaan, industri teknologi dan masyarakat.
Penyedia platform media sosial perlu lebih telus tentang bagaimana algoritma mereka berfungsi, manakala kerajaan pula perlu memperkukuh dasar serta kerangka kawal selia AI yang berpaksikan etika, keselamatan dan kemanusiaan.
Dalam masa sama, institusi pendidikan perlu mula memperkenalkan pendidikan literasi algoritma sebagai sebahagian daripada silibus masyarakat digital masa depan.
AI dan algoritma hanyalah alat. Namun tanpa kefahaman yang betul, alat ini mampu menjadi mekanisme yang memecahbelahkan masyarakat serta meruntuhkan kepercayaan awam. – UTUSAN
DR. SYAFILA KAMARUDIN
Ketua Laboratori Generasi Siber
Institut Pengajian Sains Sosial
Universiti Putra Malaysia










