PENGUATKUASAAN had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun 2026 menandakan permulaan fasa baharu dalam usaha Malaysia membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Dasar yang dikuatkuasakan melalui kerangka kawal selia keselamatan dalam talian ini bertujuan melindungi golongan muda daripada pelbagai risiko yang semakin membimbangkan dalam ruang digital.
Keputusan kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial baharu boleh dianggap sebagai langkah pencegahan yang berasaskan prinsip perlindungan kanak-kanak.
Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada sekatan umur semata-mata mampu menyelesaikan masalah yang lebih besar.
Pengalaman beberapa negara menunjukkan bahawa sekatan umur tanpa mekanisme penguatkuasaan yang berkesan sering berdepan cabaran. Pengguna bawah umur boleh menggunakan maklumat palsu ketika mendaftar akaun atau beralih kepada platform yang kurang dikawal.
Justeru, keberkesanan dasar ini bergantung kepada keupayaan platform melaksanakan sistem pengesahan umur yang benar-benar berfungsi tanpa menjejaskan privasi pengguna.
Pada masa yang sama, isu perlindungan data peribadi tidak boleh diketepikan. Penggunaan dokumen pengenalan diri atau sistem pengesahan identiti digital perlu disertakan dengan jaminan bahawa data yang dikumpulkan tidak disalahgunakan dan dilindungi mengikut piawaian keselamatan yang ketat.
Namun demikian, perlindungan kanak-kanak dalam talian tidak boleh bergantung kepada teknologi dan sekatan semata-mata. Apa yang lebih diperlukan ialah pembangunan ekosistem keselamatan digital yang menyeluruh.
Ini termasuk pendidikan literasi digital sejak peringkat sekolah, peningkatan kesedaran ibu bapa mengenai keibubapaan digital serta mekanisme pelaporan yang mudah, mesra pengguna dan berkesan.
Berdasarkan dapatan pelbagai kajian berkaitan mekanisme pelaporan dan moderasi kandungan media sosial, satu lagi aspek yang perlu diberikan perhatian ialah kewujudan badan rayuan yang bebas dan telus di luar platform media sosial itu sendiri.
Pada masa ini, kebanyakan keputusan berkaitan penyingkiran kandungan, penggantungan akaun dan tindakan terhadap laporan pengguna masih ditentukan oleh syarikat platform masing-masing.
Keadaan ini sering menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, akauntabiliti dan konsistensi dalam membuat keputusan. Tambahan pula, setiap platform mempunyai definisi yang berbeza tentang apa yang dianggap sebagai kandungan berbahaya.
Justeru, Malaysia boleh mempertimbangkan penubuhan sebuah Tribunal Rayuan Keselamatan Dalam Talian yang bebas bagi membolehkan pengguna mencabar keputusan platform secara adil dan telus.
Tribunal sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sistem pelaporan, malah mampu mewujudkan standard perlindungan yang lebih konsisten merentas pelbagai platform digital.
Hakikatnya, had umur 16 tahun bukanlah penyelesaian mutlak kepada semua risiko dalam talian. Namun, ia merupakan langkah penting ke arah mewujudkan ruang digital yang lebih selamat untuk generasi muda.
Kejayaan dasar ini akhirnya tidak akan diukur melalui jumlah akaun yang disekat, tetapi melalui sejauh mana kita berjaya melindungi kanak-kanak daripada ancaman digital sambil memastikan mereka terus mendapat manfaat daripada teknologi secara selamat dan bertanggungjawab. – UTUSAN
DR. NUUR ALIFAH ROSLAN
Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia










