SUATU ketika dahulu tugasan yang perlu disiapkan memerlukan masa berjam-jam, atau berhari-hari kini boleh diselesaikan dalam beberapa minit sahaja dengan bantuan alatan kecerdasan buatan (AI), manusia boleh menulis, menganalisis atau menyusun idea tanpa berfikir panjang.
Fenomena ini bukan hanya sekadar persepsi tetapi realiti kerana statistik global berdasarkan Institut Ekonomi AI Microsoft (2025), menunjukkan hampir satu per enam populasi dunia kini menggunakan AI Generatif dalam urusan pekerjaan.
Menurut Microsoft dan LinkedIn (2024), 90 peratus pengguna AI Generatif melaporkan peningkatan produktiviti melalui penjimatan masa, manakala 85 peratus menyatakan AI membantu menumpukan perhatian kepada tugas yang lebih bernilai dan 84 peratus meningkatkan kreativiti.
Dapatan ini membuktikan AI bukan lagi teknologi masa hadapan tetapi menjadi sebahagian daripada ekosistem kerja semasa yang membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan organisasi.
Di Malaysia, perkembangan ini turut ketara. Menurut EY Work Reimagined Survey (2025) sebanyak 93 peratus pekerja Malaysia menggunakan AI Generatif dalam tugasan kerja mereka, manakala 76 peratus melaporkan peningkatan produktiviti dan 81 peratus menyatakan AI membantu menjimatkan masa kerja secara signifikan.
Pada masa sama, Malaysia melalui National AI Office (NAIO) terus memperkukuh agenda AI negara menerusi inisiatif AI Nation 2030, dengan AI Generatif dijangka berpotensi menyumbang sehingga AS$113.4 bilion (RM481.95 bilion) kepada kapasiti produktiviti negara serta merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.
Namun, kebergantungan berlebihan boleh membawa kepada fenomena pengalihan beban kognitif iaitu kecenderungan memindahkan proses berfikir kepada mesin. Kajian MIT Media Lab (2025) mendapati pengguna ChatGPT menunjukkan aktiviti neural yang lebih rendah, penglibatan memori lebih lemah dan kreativiti lebih rendah berbanding individu yang menyelesaikan tugasan tanpa bantuan AI.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan manusia menjadi kurang kritikal, kurang kreatif dan lebih cenderung menerima jawapan tanpa soal.
Dalam sektor pendidikan, penggunaan AI adalah semakin meluas dan tidak dapat dielakkan. Kajian Stanford AI Index (2026) menunjukkan sehingga 80 peratus pelajar pernah menggunakan AI Generatif dalam pembelajaran, sama ada untuk memahami konsep atau menyiapkan tugasan.
Institusi pendidikan kini berdepan cabaran besar untuk memastikan teknologi ini digunakan secara beretika dan tidak menjejaskan proses pembelajaran sebenar.
Kemunculan kejuruteraan arahan menjadikan manusia sebagai ‘arkitek pemikiran’, di mana keupayaan merangka soalan yang tepat dapat menentukan kualiti jawapan. Namun, jika pelajar hanya bergantung AI tanpa memahami kandungan menyebabkan pembelajaran menjadi cetek dan kurang bermakna.
Fenomena ini secara tidak langsung boleh melemahkan keupayaan berfikir pelajar dalam menyelesaikan masalah kritikal, apabila mereka semakin cenderung untuk bergantung kepada cadangan dan jawapan yang diberikan AI berbanding mengaplikasikan kemahiran berfikir sendiri.
Kebergantungan berlebihan terhadap AI berpotensi menjejaskan perkembangan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar, khususnya keupayaan mereka untuk menganalisis, menilai,dan menyelesaikan masalah secara kritikal tanpa bergantung kepada cadangan yang dihasilkan oleh teknologi tersebut.
Akhirnya, persoalan utama bukanlah sama ada AI akan menggantikan manusia tetapi sama ada penggunaannya dapat memperkukuhkan pemikiran manusia. AI boleh mempercepat kerja tetapi tidak mampu menggantikan keupayaan manusia untuk menilai, mempertikai serta membuat keputusan dengan bijak dan rasional.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MAZNI OMAR
Universiti Utara Malaysia (UUM)










