LANGKAH Polis Kuala Lumpur mengerahkan lebih ramai anggota trafik ke 122 sekolah menengah awam dan swasta di ibu negara wajar disambut baik.
Pemeriksaan motosikal dan lesen memandu serta kawalan aliran trafik menunjukkan bahawa disiplin jalan raya perlu dibentuk sejak awal.
Dari sudut keselamatan jalan raya, zon sekolah tidak boleh dianggap sebagai kawasan biasa. Kereta, motosikal, van, bas dan pejalan kaki berkongsi ruang yang sama. Apabila pengguna jalan raya tergesa-gesa dan susunan pergerakan tidak teratur, risiko kemalangan meningkat.
Kehadiran anggota trafik ialah langkah penting, tetapi bukan satu-satunya penyelesaian. Ia perlu disokong dengan pengurusan trafik, pendidikan dan penambahbaikan kemudahan di sekitar sekolah.
Setiap sekolah mempunyai masalah yang berbeza. Ada yang berdepan kesesakan di pintu pagar dan parkir berlapis. Ada pula yang memerlukan lintasan pejalan kaki lebih jelas, pencahayaan lebih baik atau tempat turun naik penumpang yang lebih teratur.
Langkah pertama ialah menjalankan pemeriksaan keselamatan ringkas ketika waktu masuk dan tamat sesi persekolahan.
Pemeriksaan ini perlu melibatkan pihak sekolah, polis dan pihak berkuasa tempatan supaya tindakan dibuat berdasarkan masalah sebenar. Sekolah yang sering menerima aduan atau mengalami kesesakan tinggi perlu diberi keutamaan.
Lokasi menurunkan dan mengambil pelajar juga perlu disusun dengan lebih baik. Di kawasan yang sesuai, konsep turun dan berjalan kaki boleh dipertimbangkan.
Ibu bapa boleh menurunkan anak di lokasi selamat yang terletak sedikit jauh dari pintu pagar. Langkah ini dapat mengurangkan tumpuan kenderaan di hadapan sekolah.
Pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu dilakukan secara berterusan. Pelajar yang menunggang motosikal mesti memahami kepentingan lesen sah, pemakaian topi keledar dan had laju. Ibu bapa pula mesti menjadi contoh.
Inisiatif ini tidak wajar diukur melalui jumlah saman semata-mata. Ukuran lebih bermakna ialah pengurangan kesalahan berulang, aliran trafik yang lebih teratur dan suasana yang lebih selamat untuk pelajar.
Zon sekolah tidak sepatutnya diberi perhatian hanya selepas berlaku kemalangan. Jadikan ia selamat sekarang, sebelum ada keluarga yang menanggung penyesalan. – UTUSAN
IR. DR. NORDIANA MASHROS
Kumpulan Penyelidikan Turapan dan
Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)










