Hati-hati dengan jerat pedofilia digital

Hati-hati dengan jerat pedofilia digital

PEMANGSA seksual boleh mendekati mangsa melalui media sosial, aplikasi permainan dan pelbagai platform komunikasi digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ancaman terhadap kanak-kanak hari ini tidak lagi terbatas kepada bahaya fizikal di luar rumah. Sebaliknya, pemangsa seksual boleh mendekati mangsa melalui media sosial, aplikasi permainan dan pelbagai platform komunikasi digital tanpa perlu hadir secara fizikal.

Keadaan ini menjadikan isu keselamatan kanak-kanak semakin kompleks.

Eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak ialah satu jenayah serius yang boleh meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.

Kebanyakan kes tidak berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, pelaku lazimnya menggunakan proses manipulasi emosi atau antun seksual untuk membina kepercayaan mangsa sebelum melakukan eksploitasi.

Mereka sering menggunakan pujian, perhatian dan sokongan emosi bagi menjadikan kanak-kanak bergantung kepada mereka.

Statistik yang dibentangkan di Dewan Rakyat menunjukkan sebanyak 3,093 kes jenayah seksual membabitkan individu bawah 18 tahun direkodkan antara 2023 hingga Oktober 2025. Angka ini dipercayai tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana banyak kes tidak dilaporkan.

Budaya perkongsian maklumat secara berlebihan di media sosial turut meningkatkan risiko. Gambar, lokasi dan rutin harian kanak-kanak yang dikongsi secara terbuka boleh dimanfaatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, perkembangan teknologi seperti deepfake menambah dimensi baharu kepada ancaman eksploitasi seksual dalam talian.

Malaysia memperkukuh perlindungan kanak-kanak melalui Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi. Ibu bapa, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa perlu bekerjasama memperkukuh pendidikan keselamatan digital serta meningkatkan kesedaran tentang risiko manipulasi dalam talian.

Kemajuan teknologi tidak seharusnya mengorbankan keselamatan generasi muda. Persoalan utama hari ini bukan sejauh mana teknologi berkembang, tetapi sejauh mana kita bersedia melindungi kanak-kanak daripada ancaman yang tersembunyi di sebalik skrin digital. – UTUSAN

REFQAH SOFEA MOHD SOFI & NURUL NISHA MOHD SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN