Apa yang membimbangkan hari ini ialah semakin ramai belia membuat pembelian bukan lagi berdasarkan keperluan tetapi kerana takut ketinggalan daripada trend semasa (FOMO).
Perubahan gaya hidup digital mengubah cara generasi muda membuat keputusan pembelian.
Kajian berkaitan tingkah laku pengguna Generasi Z di Malaysia menunjukkan media sosial, ulasan dalam talian dan interaksi digital kini memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pilihan pengguna.
Lebih ketara, platform media sosial kini menggabungkan hiburan dan pembelian dalam satu ruang yang sama. Pengguna tidak lagi perlu meninggalkan aplikasi untuk membeli sesuatu produk. Mereka boleh terus membuat pembelian ketika menonton video, mengikuti siaran langsung atau melihat promosi daripada pempengaruh digital.
Perkembangan perdagangan sosial ini semakin pesat hasil penggunaan telefon pintar dan media sosial yang meluas, khususnya dalam kalangan pengguna muda. Situasi ini menjadikan golongan belia antara kumpulan yang paling mudah terdedah kepada pengaruh trend digital.
Pada usia mencari identiti dan penerimaan sosial, ramai belia menjadikan apa yang dipakai oleh pempengaruh, digunakan oleh rakan-rakan atau perkara yang sedang tular sebagai ukuran gaya hidup. Keinginan untuk kelihatan relevan dan tidak ketinggalan akhirnya mendorong mereka membuat pembelian yang tidak semestinya diperlukan.
Kajian turut menunjukkan penggunaan media sosial yang tinggi serta kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain menjadi antara faktor yang menyumbang kepada FOMO, khususnya dalam kalangan pelajar universiti.
Kesan daripada budaya ini tidak boleh dipandang ringan. Ada belia yang mula berbelanja melebihi kemampuan sebenar, menggunakan kemudahan beli sekarang bayar kemudian, bergantung kepada kad kredit atau mengorbankan simpanan hanya untuk mengikuti trend tertentu.
Walaupun tindakan tersebut mungkin kelihatan kecil pada peringkat awal, kesannya boleh menjadi lebih besar dalam jangka panjang. Perbelanjaan yang didorong emosi boleh menyebabkan hutang meningkat, simpanan berkurang dan tekanan kewangan bertambah.
Lebih membimbangkan, budaya FOMO bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan, malah turut menjejaskan kesihatan mental. Apabila seseorang terlalu kerap membandingkan kehidupannya dengan apa yang dipaparkan di media sosial, mereka mudah berasa tidak cukup berjaya, kurang bernilai atau ketinggalan berbanding orang lain.
Hakikatnya, kandungan di media sosial sering hanya memaparkan sebahagian kecil daripada kehidupan seseorang. Namun, ramai pengguna muda menganggapnya sebagai gambaran sebenar yang perlu dicapai.
Justeru, literasi kewangan dan literasi digital perlu diperkasakan. Belia perlu memahami perbezaan antara kehendak dan keperluan, mengenali strategi pemasaran digital serta belajar membuat keputusan kewangan secara lebih rasional.
Ibu bapa, institusi pendidikan dan kerajaan juga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang lebih bijak mengurus kewangan. Kesedaran bahawa tidak semua trend perlu diikuti merupakan langkah awal ke arah gaya hidup yang lebih bertanggungjawab.
Teknologi dan media sosial bukanlah musuh. Cabaran sebenar terletak pada kemampuan seseorang mengawal diri dalam dunia yang sentiasa mendorong budaya membeli. Kejayaan seseorang belia bukan diukur melalui jumlah barangan yang dimiliki atau trend yang diikuti tetapi melalui kebijaksanaan membuat pilihan.
Dalam era digital hari ini, kemampuan untuk berkata “tidak” mungkin menjadi antara kemahiran kewangan paling bernilai. –UTUSAN
SITI NURHIJAN MAHAMAD HASRI
Pelajar sarjana Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Puncak Alam










