HARI Alam Sekitar Sedunia ini disambut pada setiap 5 Jun, ekoran sambutan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk komited dalam mengukuhkan pemuliharaan hidupan liar dan perlindungan habitat dengan mempergiatkan usaha melindungi spesies terancam, memulihkan ekosistem yang terdegradasi, memerangi perdagangan haram hidupan liar serta meningkatkan pengurusan kawasan perlindungan.
Memulihara hutan, tanah lembap, habitat pantai dan koridor biodiversiti penting bukan sahaja untuk memelihara hidupan liar tetapi juga untuk mengekalkan kestabilan ekologi selain mengukuhkan penyerapan karbon semula jadi yang mengurangkan perubahan iklim.
CAP juga menggesa kerjasama yang lebih kukuh dalam kalangan kerajaan, industri, masyarakat sivil dan komuniti tempatan untuk menggalakkan dasar serta amalan alam sekitar yang mampan.
Langkah ini sekali gus menyepadukan kemampanan ke dalam perancangan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Ini termasuk memastikan penggunaan tanah yang bertanggungjawab, mengarusperdanakan agroekologi, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurangan sisa dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam mengurangkan jejak ekologi sambil menyokong daya tahan jangka panjang.
Memulihkan hutan bakau, hutan, tanah gambut serta sistem sungai boleh membantu mengurangkan banjir, hakisan pantai, kemarau, haba melampau sambil meningkatkan biodiversiti selain meningkatkan keterjaminan makanan dan air. Melabur dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang didorong penglibatan komuniti merupakan strategi yang kos efektif dan mampan bagi menjamin kesejahteraan manusia serta pemeliharaan alam sekitar.
Pendidikan, kempen advokasi, kesukarelawanan dan program pemuliharaan yang didorong komuniti boleh memupuk rasa tanggungjawab bersama yang lebih kukuh. Dalam masa sama turut memberi inspirasi kepada tindakan kolektif ke arah masa hadapan yang lebih mampan dan berdaya tahan iklim.
Kerajaan, perniagaan, pertubuhan dan rakyat mestilah bekerjasama untuk memastikan komitmen iklim disokong usaha pemuliharaan praktikal serta dasar mampan yang melindungi kedua-dua manusia mahupun biodiversiti.
Semua pihak perlu mendapatkan ilham dari alam semula jadi untuk bertindak tegas demi iklim, hidupan liar dan masa hadapan kita bersama. Tindakan yang kita ambil hari ini akan menentukan kesihatan planet dan warisan yang ditinggalkan untuk generasi akan datang. -UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










