SEMPENA Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung baru-baru ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melancarkan tiga buah naskhah Siri Soal Jawab Kefahaman Islam (SiJKI) iaitu Ilmu, Cabaran Semasa dan Pendidikan; Fiqh, Kekeluargaan dan Masyarakat Majmuk serta yang terakhir, Etika, Akhlak dan Tasawwuf.
Naskhah pertama dalam siri ini adalah hasil gabungan Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran dan Md. Asham Ahmad. Mohd. Farid yang juga merupakan Pengarah Pusat Kajian Akidah, Agama dan Keharmonian bukanlah nama asing, terutamanya bagi pendengar setia Radio IKIM.
Soalan-soalan yang dicermati dalam naskhah ini bukan sahaja merupakan soalan lazim bagi kebanyakan orang Islam tetapi juga adalah soalan-soalan dasar bagi kebanyakan manusia. Soal adakah Tuhan itu wujud dan apakah bukti kewujudan Tuhan masih kekal relevan, malah semakin mendesak dalam dunia moden kini.
Tiga naskhah terkini yang baru sahaja diterbitkan menyaksikan Pengarah dan Felo Utama di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak) IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad bersama pegawai-pegawai penyelidik lain seperti Siti Shamsiah Md. Supi, Mohd. Noor Omar dan Enizahura Abdul Aziz menyumbangkan hasil kajian dan penulisan mereka untuk menjawab persoalan-persoalan berkenaan tema-tema yang lain.
Siri ini juga berusaha menjawab persoalan kompleks dan teknikal melibatkan falsafah, tasawwuf, dan undang-undang.
Walaupun sesetengah soalan kelihatan berat sebagai contoh soalan yang menjawab persoalan kesan ‘kenisbian nilai’ kepada umat Islam atau bermain dengan hukum-hakam seperti soalan, apakah hukum nikah lari dan nikah sindiket? Mencerakin jawapan kepada bahagian-bahagian kecil yang turut dibantu dengan jadual dan infografik ringkas untuk menyimpul semula fakta-fakta.
SiJKI bersifat ringkas, tidak dibebani dengan nota kaki dan rujukan yang sarat, tetapi tetap dilengkapi dengan dalil-dalil daripada ayat al-Quran dan hadis untuk menyokong hujah serta glosari untuk istilah-istilah khas di akhir buku.
IKIM juga menyediakan buku-buku ilmiah dengan nilai akademik yang tinggi. Pelbagai isu mu’asarah (kontemporari) berkenaan Islam dan umat Islam dihurai dengan tuntas seperti buku Faraid dan Perancangan Pewarisan Harta Beku: Bidang Kuasa & Amalan di Malaysia, Islam dan Mata Wang Kripto, serta banyak lagi.
Dari tahun ke tahun, IKIM juga menerbitkan Jurnal TAFHIM yang diiktiraf sepenuhnya oleh MyCite melalui proses tapisan penilaian sejawatini boleh diakses dengan mudah atas statusnya yang bersifat akses terbuka. Ini semua menyediakan pilihan dan peluang kepada para pembaca serta penyelidik untuk mendapat manfaat daripada penyelidikan akademik.
SiJKI dilihat sebagai satu bahan bacaan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Pembahagian naskhah mengikut tema-tema tertentu dengan saiz yang tidak terlalu tebal memudahkan pembaca memilih mengikut keperluan dan minat, tanpa rasa ‘dipaksa’ membeli sebuah buku kompilasi besar yang menghimpunkan seluruh soalan.
Para pendidik misalnya, pasti akan rasa terpanggil untuk memiliki naskhah Ilmu, Cabaran Semasa dan Pendidikan.
Manakala bagi yang berminat menekuni isu-isu fiqh semasa, anda boleh mendapatkan naskhah Fiqh, Kekeluargaan dan Masyarakat Majmuk. Sementara bagi yang berniat berjinak-jinak dengan dunia falsafah pula boleh memilih naskhah Etika, Akhlak dan Tasawwuf.
Orang ramai berpeluang mendapatkan karya-karya ini secara langsung di IKIM atau di atas talian melalui plataform IKIM Niaga di https://ikimniaga.my/. –UTUSAN
NUR AAINAA BAJURI
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Akidah, Agama dan Keharmonian (AMAN),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)










