Bijak berbelanja di tengah tekanan ekonomi

Bijak berbelanja di tengah tekanan ekonomi

KEKUATAN ekonomi bukan bergantung kepada pendapatan semata-mata tetapi kepada keupayaan masyarakat mengurus kewangan secara bijak, berdisiplin dan berhemah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dunia berdepan konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global, rakyat di negara ini turut merasai kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan. Harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat, sekali gus memberi tekanan besar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam keadaan ini, masyarakat tidak lagi boleh berpegang kepada budaya ‘ingin memiliki’, sebaliknya perlu beralih kepada budaya ‘mengurus keperluan’.

Cabaran utama bukan sekadar pendapatan yang terhad tetapi keupayaan mengawal emosi, disiplin kewangan dan corak perbelanjaan harian.

Masyarakat perlu kembali memahami perbezaan antara keperluan dan kehendak. Keperluan merangkumi perkara asas seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan. Kehendak pula melibatkan perkara yang boleh ditangguhkan seperti pembelian barangan mewah, trend media sosial atau gaya hidup berlebihan.

Dalam era digital, media sosial memainkan peranan besar dalam mengubah tabiat berbelanja. Pengguna sering membeli bukan kerana perlu tetapi kerana pengaruh trend, iklan algoritma dan budaya ‘ikut orang lain’. Fenomena ini mendorong pembelian impulsif, terutama melalui platform e-dagang dan jualan kilat.

Kemudahan kewangan moden seperti Beli Sekarang bayar Kemudian, kad kredit dan pembayaran tanpa tunai turut meningkatkan risiko perbelanjaan tidak terkawal. Data Kementerian Kewangan menunjukkan jutaan rakyat kini menggunakan BNPL, manakala hutang isi rumah kekal tinggi melebihi RM1 trilion, sekali gus menunjukkan tekanan kewangan yang serius.

Selain itu, kurangnya literasi kewangan turut menyumbang kepada masalah ini. Ramai pengguna tidak menyediakan bajet bulanan, tidak menabung secara konsisten dan tidak mempunyai dana kecemasan. Kajian global turut menunjukkan masyarakat yang tidak merancang kewangan lebih terdedah kepada hutang jangka panjang.

Oleh itu, pendidikan kewangan perlu diperkukuh sejak awal, bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah dan tempat kerja. Pengguna perlu belajar merancang perbelanjaan, menilai keutamaan dan mengelakkan pembelian berdasarkan emosi.

Selain itu, kerajaan dan industri juga wajar memperketat kawalan terhadap promosi kredit mudah agar tidak menggalakkan hutang tidak sihat. Dalam masa sama, masyarakat perlu membina tabiat menyimpan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus pendapatan sebagai perlindungan kewangan jangka panjang.

Kesimpulannya, kekuatan ekonomi bukan bergantung kepada pendapatan semata-mata, tetapi kepada keupayaan masyarakat mengurus kewangan secara bijak, berdisiplin dan berhemah. Dalam dunia yang tidak menentu, nilai sebenar bukan pada apa yang dimiliki, tetapi pada bagaimana kita mengurus apa yang kita miliki. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA

Pensyarah (Profesor Madya),

Jabatan Sains Sosial,

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN