Bahasa membentuk persepsi

Bahasa membentuk persepsi

GAJAH sering dipaparkan sebagai pengganggu aktiviti manusia, yakni gajah menjadi pemusnah dan manusia menjadi mangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden seekor anak gajah yang maut dilanggar kenderaan di Lebuhraya Timur-Barat. Peristiwa itu menjadi lebih menyentuh perasaan apabila berlaku pada Hari Ibu, dengan rakaman menunjukkan seekor gajah betina dipercayai ibunya enggan meninggalkan lokasi kejadian. Kisah tersebut dilaporkan sebagai tragedi kehilangan seorang anak oleh seekor ibu.

Baru-baru ini pula, perhatian masyarakat tertumpu kepada tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK), yang ditempatkan di sebuah zoo di Jepun. Pelbagai laporan dan perkongsian media sosial menggambarkan haiwan tersebut berada dalam keadaan tidak gembira akibat persekitaran yang dianggap kurang sesuai dan tidak menyerupai habitat semula jadi.

Kedua-dua kisah ini mendapat liputan meluas media dan tular dalam media sosial, sekali gus mencetuskan perbincangan awam mengenai nasib gajah serta cabaran yang dihadapi spesies tersebut. Secara tidak langsung, ia meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesan urbanisasi, kehilangan habitat dan kepentingan usaha pemuliharaan gajah di Malaysia.

Malaysia merupakan antara negara yang masih mempunyai populasi gajah Asia di Semenanjung Malaysia serta subspesies gajah pigmi di Sabah. Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), gajah Asia dikategorikan sebagai spesies terancam dan memerlukan perlindungan berterusan bagi memastikan kelangsungan hidupnya.

Kehadiran gajah amat penting kepada keseimbangan ekosistem. Haiwan ini berfungsi sebagai ‘jurutera ekosistem’ melalui pelbagai aktiviti semula jadi seperti membuka laluan di dalam hutan, menyebarkan benih tumbuhan dan menggali sumber air. Peranan tersebut bukan sahaja membantu mengekalkan biodiversiti, malah turut memberi manfaat kepada spesies lain dan manusia secara tidak langsung.

Namun demikian, cara gajah digambarkan dalam laporan media mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap haiwan tersebut. Dalam kes gajah betina yang kehilangan anak dan kisah DAK, gajah digambarkan sebagai makhluk yang mempunyai emosi, perasaan dan pengalaman yang hampir menyerupai manusia. Pendekatan ini berjaya membangkitkan empati serta meningkatkan kesedaran terhadap nasib haiwan berkenaan.

Sebaliknya, dalam banyak laporan lain, gajah sering dikaitkan dengan istilah negatif seperti ‘mengamuk’, ‘memijak’, ‘membunuh’, ‘merosakkan tanaman’, ‘menceroboh’ atau ‘menyerang’ ladang. Malah, ada laporan yang melabelkan haiwan ini sebagai ‘gajah pembunuh’ atau ‘gajah liar’.
Penggunaan istilah sedemikian secara berterusan boleh membentuk tanggapan negatif terhadap gajah.

Naratif seperti ini boleh membawa implikasi lebih besar terhadap usaha pemuliharaan. Apabila gajah dilihat sebagai haiwan yang agresif dan berbahaya, tindakan yang lebih keras terhadapnya mungkin dianggap wajar, termasuk mencederakan atau membunuh haiwan tersebut. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing, khususnya dalam kes yang melibatkan gajah pigmi di Sabah.

Justeru, bahasa yang digunakan untuk menggambarkan gajah bukanlah perkara yang remeh. Perkataan dan istilah yang dipilih mampu membentuk persepsi, sikap serta tingkah laku masyarakat terhadap spesies ini. Bahasa yang digunakan hari ini akhirnya akan mempengaruhi sejauh mana masyarakat menghargai dan menyokong usaha pemuliharaan pada masa hadapan.

Oleh itu, pemilihan kata dalam laporan media, penulisan dan perbincangan awam perlu dilakukan secara lebih bertanggungjawab. Bahasa yang digunakan seharusnya membantu memperkukuh usaha pemuliharaan, bukannya menjejaskan imej atau kelangsungan hidup gajah.

Jika gajah berperanan sebagai jurutera ekosistem yang membentuk dan mengekalkan keseimbangan alam, maka manusia juga perlu membentuk semula bahasa dan naratif tentang haiwan tersebut. Hanya dengan cara itu, gajah akan terus dihargai sebagai khazanah alam yang penting. –UTUSAN

DR. KUMARAN RAJANDRAN
Universiti Sains Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN