SETIAP kali fajar 1 Muharram menyinsing, suasana persekitaran kita pasti akan mula dipenuhi dengan alunan nasyid perjuangan. Di masjid-masjid pula, majlis bacaan doa akhir dan awal tahun diadakan bagi menandakan pertukaran kalendar Islam.
Namun, kalau kita selami betul-betul di sebalik keindahan tradisi ini, sambutan Maal Hijrah sebenarnya menuntut kita untuk memahami sesuatu yang jauh lebih besar.
Kita perlu melihat keperihan dan strategi di sebalik penghijrahan Nabi Muhammad SAW bukannya sekadar menjadikan hari ini sebagai acara tahunan atau cuti umum semata-mata.
Rakyat Malaysia sekarang sedang berperang dengan kos sara hidup yang makin menghimpit. Belajar daripada peristiwa Hijrah Nabi SAW yang sebenarnya merupakan pelan besar menyusun semula ekonomi ummah, kedatangan 1448H ini adalah masa terbaik untuk kita buat ‘hijrah ekonomi’. Dah tiba masanya kita berani ubah cara berbelanja dan bina benteng kewangan yang lebih kukuh demi masa hadapan.
Satu perkara yang kita kena faham, masalah kos sara hidup ini tidak akan selesai kalau kita sendiri masih tegar mengekalkan tabiat lama. Dalam hal ini, Allah SWT sudah memberikan peringatan yang sangat jelas di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Melalui ayat ini, mesej yang ingin disampaikan sebenarnya sangat mudah. Kalau kita mahu status kewangan keluarga kita berubah menjadi lebih baik, segalanya mesti bermula daripada azam, sikap dan usaha kita sendiri untuk berhijrah. Kita tidak boleh lagi hidup dalam penafian. Langkah pertama dalam mengharungi badai ekonomi ini perlu bermula dengan ‘hijrah poket’ melalui pembaharuan minda sebagai pengguna.
Hari ini, cabaran terbesar kita datang daripada skrin telefon pintar masing-masing. Kita hidup di era media sosial di mana trend ingin menunjuk-nunjuk sering menjerat poket masyarakat ke lembah hutang. Ramai yang terperangkap dalam ilusi gaya hidup mewah yang dicipta oleh orang lain sehingga gagal membezakan antara keperluan asas dan kehendak nafsu.
Akibatnya, ada yang sanggup mengikat perut atau menggunakan kemudahan hutang mudah demi mengekalkan imej kosmetik di alam maya manakala tabungan kecemasan di dalam akaun bank pula berbaki sifar.
Hijrah ekonomi bermaksud urus duit ikut kemampuan sendiri bukan ikut gaya hidup orang lain. Maal Hijrah kali ini mengajak kita berhenti boros. Hidup sederhana bukan bermakna kita mundur tapi itulah strategi paling bijak. Cuba potong belanja yang tak penting seperti langganan aplikasi terbiar, kerap makan luar atau tukar gajet tanpa keperluan.
Ingat, jaminan masa hadapan bukan diukur pada barang mewah yang kita tayang tapi pada keupayaan kita mengawal duit keluar masuk.
Dalam konteks Malaysia hari ini, kita tidak boleh lagi sekadar duduk mengeluh melihat kenaikan harga barang tanpa ada usaha proaktif untuk menambah nilai diri.
Kita perlu melakukan ‘hijrah kemahiran’. Di era digital yang berkembang pantas ini, peluang untuk menambah pendapatan sebenarnya terbuka luas jika kita mahu belajar. Kita boleh meneroka peluang dalam perniagaan digital, melibatkan diri dalam ekonomi gig atau mula menguasai peralatan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mempermudah urusan kerja sampingan.
Semangat untuk berdikari dan mempunyai etika kerja yang tinggi ini telah lama ditekankan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda baginda,
“Demi Allah, jika seseorang di antara kamu mengambil talinya lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu api, kemudian memikul berkas kayu itu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dengan itu Allah menjaga maruahnya, maka itu adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia…” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).
Hadis ini sebenarnya memberikan tamparan yang sangat hebat kepada mentaliti yang hanya tahu duduk diam menunggu bantuan atau subsidi semata-mata. Jika diletakkan dalam konteks dunia moden hari ini, aktiviti ‘memikul kayu api’ itu boleh diterjemahkan sebagai kesanggupan kita untuk merendahkan ego, belajar cara berniaga di platform e-dagang, menjadi pencipta kandungan yang membawa manfaat atau mengambil upah menggunakan kemahiran di luar waktu kerja hakiki.
Selagi mana pekerjaan tersebut halal dan dapat menjaga maruah diri serta keluarga daripada meminta-minta, langkah kecil tersebut adalah sebuah penghijrahan yang sangat mulia di sisi agama. Dengan mengubah pemikiran daripada sekadar menunggu peluang kepada mencipta peluang, kita bukan sahaja mampu mengimbangi tekanan kos sara hidup malah turut membantu mengaktifkan lagi kitaran ekonomi negara.
Sambutan Maal Hijrah kali ini seharusnya tidak lagi dibiarkan menjadi sebuah ritual pengulangan sejarah yang kaku dan sekadar didengar di corong-corong radio. Di tengah-tengah badai kos sara hidup yang sedang menguji ketahanan rakyat, pengertian hijrah yang sebenar perlu diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan ekonomi yang realistik, matang dan berani. Perubahan berskala besar ini sememangnya menuntut pengorbanan daripada semua pihak tanpa terkecuali.
Di peringkat individu, rakyat perlu berhijrah menguruskan poket dengan bijak dan rajin mengasah kemahiran baharu demi kelangsungan hidup. Dari sudut lain, para pemimpin serta penggerak industri wajib berhijrah untuk menegakkan keadilan sistemik serta memelihara kebajikan sosial masyarakat.
Berbekalkan azam Muharram yang membara di dalam dada, marilah kita melangkah ke tahun baharu Islam ini dengan minda yang lebih kental, sentiasa bersedia untuk berubah dan kekal optimis untuk membina sebuah Malaysia yang berdaya tahan, mandiri serta dilimpahi keberkatan ekonominya. – UTUSAN
NIK MOHD. NASRUN NIK ABDULLAH
Program Sarjana Pengajian Islam (MIS),
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia










