Anak muda semakin jauh dari dapur

Anak muda semakin jauh dari dapur

MEMASAK wajar kembali dilihat sebagai kemahiran hidup penting, bukan sekadar aktiviti sampingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika dahulu, dapur menjadi nadi kehidupan sesebuah rumah. Bunyi lesung batu, aroma tumisan bawang, dan resipi turun-temurun membentuk identiti keluarga Malaysia. Namun hari ini, suasana itu semakin pudar apabila ramai anak muda lebih akrab dengan aplikasi penghantaran makanan berbanding peralatan asas di dapur sendiri.

Fenomena ini bukan sekadar isu ‘tidak pandai memasak’ atau sikap malas seperti yang sering disimpulkan secara mudah. Sebaliknya, ia mencerminkan perubahan budaya makanan yang lebih luas, apabila hubungan manusia dengan makanan, keluarga dan kemahiran hidup asas semakin longgar.

Kemunculan budaya makanan segera serta perkhidmatan penghantaran makanan menjadikan akses kepada makanan jauh lebih mudah. Dengan beberapa sentuhan pada telefon pintar, makanan boleh tiba dalam masa singkat terus ke depan pintu rumah. Dalam dunia moden yang serba pantas, kemudahan ini menjadi pilihan utama ramai anak muda.

Namun, kemudahan ini membawa kesan jangka panjang yang tidak boleh dipandang ringan. Ramai anak muda tidak lagi melihat memasak sebagai kemahiran asas yang perlu dikuasai. Aktiviti memasak dianggap membebankan, memakan masa dan kurang sesuai dengan gaya hidup moden. Akibatnya, semakin ramai memasuki alam dewasa tanpa kemahiran menyediakan makanan asas untuk diri sendiri.

Pada masa sama, dapur sebagai ruang interaksi keluarga turut semakin hilang fungsinya. Dahulu, dapur menjadi tempat ahli keluarga berkumpul, belajar dan berkongsi kemahiran memasak. Kini, budaya tersebut semakin digantikan dengan makanan siap beli, sekali gus mengurangkan interaksi antara generasi dalam keluarga.

Dalam jangka panjang, perubahan ini memberi kesan kepada kesihatan, ekonomi isi rumah dan keterjaminan makanan. Masyarakat yang terlalu bergantung kepada makanan luar lebih terdedah kepada kenaikan harga serta ketidaktentuan bekalan makanan.

Ironinya, minat anak muda terhadap makanan masih tinggi, namun dalam bentuk berbeza. Fenomena makanan tular, kafe estetik dan kandungan media sosial membuktikan makanan kekal relevan dalam gaya hidup. Cuma, hubungan itu kini lebih sebagai pengguna, bukan penghasil.

Walaupun begitu, kita tidak boleh menyalahkan generasi muda semata-mata. Tekanan kos sara hidup, kesibukan kerja, ruang kediaman terhad dan gaya hidup bandar turut menyumbang kepada perubahan ini.

Namun, memasak wajar kembali dilihat sebagai kemahiran hidup penting, bukan sekadar aktiviti sampingan. Ia berkait rapat dengan kesihatan, pengurusan kewangan, hubungan keluarga dan warisan budaya. Jika dapur terus dipinggirkan, kita bukan sahaja kehilangan kemahiran tetapi juga sebahagian identiti masyarakat.

Persoalannya kini, adakah dapur masih akan kekal sebagai ruang hidup dalam rumah masyarakat Malaysia, atau perlahan-lahan menjadi ruang yang hanya tinggal sejarah? –UTUSAN

 

FIRDAUS ABD. HANAN

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN