PENUBUHAN Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) merupakan langkah signifikan dalam memperkasa jati diri rakyat, memupuk semangat patriotisme serta meningkatkan kefahaman terhadap asas kenegaraan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam era globalisasi yang mencabar, nilai kenegaraan perlu terus diperkukuh agar rakyat kekal berpegang kepada prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan serta menghargai sejarah dan kedaulatan negara.
AKM juga berperanan penting dalam menyebarluaskan elemen kenegaraan secara inklusif merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat di setiap wilayah.
Pelaksanaan program-program tersusun oleh AKM mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan integrasi nasional, sekali gus merapatkan jurang persefahaman dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, inisiatif Gelombang Aku Kasih Malaysia yang dilancarkan pada 3 April 2026 selari dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, keharmonian dan kesejahteraan sosial masyarakat.
Program ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan impak yang menyeluruh kepada rakyat.
Kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat, termasuk melalui inisiatif seperti Program Budi Madani 95 serta usaha berterusan memastikan kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan ekonomi rakyat dalam menghadapi cabaran global semasa.
AKM turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia yang berteraskan persefahaman, kepercayaan dan semangat kebersamaan antara wilayah.
Baru-baru ini, pejabat AKM Wilayah Persekutuan dibuka secara rasmi sebagai jambatan penting dalam menghubungkan kefahaman antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara inklusif dan menyeluruh.
Diharap AKM Wilayah Persekutuan akan terus menjadi pusat kecemerlangan dalam meneraju pendidikan kenegaraan serta melahirkan generasi yang berfikiran kritis, berdaya tahan dan bersemangat patriotik tinggi.
Semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuh pembinaan negara bangsa. – UTUSAN
AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA










