Sumud: Suara kemanusiaan tidak pernah bisu

Sumud: Suara kemanusiaan tidak pernah bisu

SUMUD Flotilla membuktikan bahawa nilai kemanusiaan masih hidup dalam jiwa masyarakat antarabangsa yang enggan berdiam diri melihat ketidakadilan terus berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJUANGAN Sumud Flotilla bukan sekadar sebuah pelayaran merentasi lautan tetapi merupakan simbol keberanian, kemanusiaan dan solidariti masyarakat dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus berdepan penindasan, sekatan dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Walaupun misi ini tidak berjaya tiba di destinasi yang dituju susulan halangan dan campur tangan pihak tertentu yang cuba menyekat bantuan kemanusiaan daripada disalurkan kepada rakyat Gaza, namun perjuangan tersebut sama sekali tidak boleh dianggap sebagai satu kegagalan.

Sebaliknya, Sumud Flotilla berjaya mencapai sesuatu yang jauh lebih besar dan membuka mata dunia terhadap realiti penderitaan rakyat Palestin. Ini juga membuktikan nilai kemanusiaan masih hidup dalam jiwa masyarakat antarabangsa yang enggan berdiam diri melihat ketidakadilan terus berlaku.

Keberanian para aktivis, sukarelawan dan pendukung misi ini yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyampaikan bantuan dan menyuarakan penderitaan rakyat Gaza wajar diberi penghormatan. Mereka bukan sekadar membawa bekalan bantuan kemanusiaan tetapi  harapan jutaan manusia yang mengimpikan keamanan, kebebasan dan kehidupan yang lebih bermaruah untuk rakyat Palestin.

Sumud Flotilla turut membuktikan sekatan fizikal tidak mampu menghalang kekuatan suara kemanusiaan. Walaupun kapal-kapal bantuan dihalang daripada meneruskan pelayaran, namun mesej yang dibawa misi ini berjaya menembusi sempadan negara, bangsa, agama dan ideologi. Dunia kini semakin sedar apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar isu politik atau konflik wilayah tetapi merupakan tragedi kemanusiaan yang menuntut perhatian, tindakan dan solidariti masyarakat antarabangsa.

Lebih besar daripada itu, perjuangan ini memberi impak kepada satu dunia. Sumud Flotilla berjaya membuka mata masyarakat antarabangsa untuk terus cakna terhadap isu Gaza yang masih ditindas dan ditawan Israel. Walaupun pelayaran ini tidak berjaya menembusi sekatan, namun mesej perjuangannya berjaya menembusi hati jutaan manusia di seluruh dunia. Dunia kini semakin sedar penderitaan rakyat Gaza bukan perkara kecil yang boleh dipandang sepi tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut suara, tindakan serta solidariti tanpa henti.

Sumud Flotilla mengajar dunia bahawa perjuangan kemanusiaan tidak akan mati. Selagi masih ada penindasan, selagi itu akan lahir insan-insan yang berani membawa harapan walaupun terpaksa mengorbankan segalanya. Kegagalan pelayaran ini bukan noktah perjuangan tetapi permulaan kepada gelombang kesedaran yang lebih besar dalam mempertahankan hak, kebebasan dan maruah kemanusiaan sejagat. –UTUSAN

KHAIRUNNISA ABU SAMAH

Pengerusi Biro Kepimpinan Antarabangsa & Bakat Baru (WISDOM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN