ISU penipuan pelaksanaan badal haji nampaknya tidak selesai lagi. Ia ekoran banyak iklan tawaran pelaksanaan badal haji.
Mereka menawarkan pakej dengan bayaran serendah RM2,800 dan diberi hadiah seperti air zam zam, sejadah, kurma dan sebagainya. Mereka siap menawarkan peluang untuk menjadi ejen untuk mencari ‘pelanggan’ yang berminat.
Perkara ini sudah berlaku sekian lama dan seolah-olah tiada mekanisme menyekat pihak tertentu yang cuba mengaburi mata orang ramai atas nama ibadah kepada Allah.
Kemudian pelaksana badal haji akan ke masyair dan memegang sehelai kertas yang mengandungi nama seseorang. Mereka mendakwa berada di Padang Arafah menunaikan badal haji berkenaan.
Apa yang berlaku, sebenarnyadi tangan mereka ada banyak nama ‘pelanggan’ yang membayar perkhidmatan tersebut. Rakan mereka akan mengambil foto atau video bagi setiap nama yang tertera di kertas.
Sedangkan mengikut hukum syarak, satu individu hanya boleh melaksanakan badal haji untuk seorang sahaja dalam satu musim. Mana mungkin seseorang melaksanakan untuk berpuluh-puluh orang.
Seperkara lagi, kadar bayaran serendah RM2,800 tidak mungkin mencukupi untuk melaksanakan pelbagai urusan badal haji. Kos seperti visa, penginapan, makan minum dan pengangkutan, bukannya sedikit.
Malah menurut Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), kos badal haji sepatutnya melebihi RM10,000. Hal ini turut diakui persatuan pelajar Malaysia di Asia Barat.
Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pihak kerajaan mengambil serius penipuan badal haji yang masih berlaku. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memantau dan bertindak lebih tegas akan isu ini.
Kita tidak mahu orang ramai terus tertipu oleh pelbagai tawaran menarik pihak-pihak tertentu. Janganlah atas nama agama, penipuan demi penipuan dibiarkan oleh pihak berkuasa.
Jakim, mufti negeri-negeri dan pihak berkuasa agama di negeri-negeri perlu duduk semeja bagi merungkai isu ini, yang mencemar kesucian ibadah haji dan agama Islam amnya.
Syarikat-syarikat umrah dan orang perseorangan, perlulah dikawal dan diselia dalam aspek pelaksanaan badal haji. Orang ramai tentu sahaja sanggup membayar jika melalui cara yang betul dan sahih digunakan.
Kejayaan mengatasi isu penipuan badal haji amat dinanti-nantikan oleh masyarakat. Yang penting, laksanakan haji dan umrah mengikut rukun dan hukum yang ditetapkan syarak. –UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat










