CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan subsidi minyak bersasar kepada golongan T20 membuka ruang perbincangan yang meluas dalam kalangan rakyat.
Langkah ini pada asasnya bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi serta memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan. Namun begitu, pelaksanaannya menimbulkan persoalan penting tentang sejauh mana pengkelasan T20 yang digunakan ketika ini benar-benar adil dan mencerminkan realiti kehidupan semasa.
Secara umum, T20 merujuk kepada 20 peratus isi rumah berpendapatan tertinggi di negara ini. Pengkelasan ini kelihatan mudah dan sistematik di atas kertas, namun realiti ekonomi hari ini jauh lebih kompleks.
Tidak semua isi rumah dalam kategori T20 menikmati kehidupan mewah atau berada dalam kedudukan kewangan yang selesa. Sebahagian mereka hanya dilihat berpendapatan tinggi dari sudut angka tetapi pada masa sama menanggung beban kewangan yang besar.
Contohnya, ramai isi rumah di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang berdepan kos sara hidup yang sangat tinggi. Mereka perlu menanggung pinjaman perumahan yang besar, kos pendidikan anak-anak yang meningkat serta perbelanjaan harian yang jauh lebih mahal berbanding kawasan luar bandar. Dalam situasi ini, pendapatan kasar yang tinggi tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar mereka.
Jika kerajaan hanya menggunakan pendapatan bulanan sebagai asas pengkelasan tanpa mengambil kira faktor seperti lokasi, jumlah tanggungan keluarga dan kos kehidupan sebenar, maka pelaksanaan subsidi bersasar boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh mewujudkan persepsi kerajaan tidak memahami tekanan sebenar yang dihadapi oleh golongan pekerja bandar yang masih berusaha memenuhi keperluan asas kehidupan.
Dalam konteks keadilan sosial, kerajaan perlu mempertimbangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dan dinamik. Pengkelasan pendapatan tidak boleh bersifat statik kerana kos kehidupan berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain.
Seorang isi rumah yang tergolong dalam T20 di kawasan luar bandar mungkin mempunyai kuasa beli yang jauh lebih tinggi berbanding isi rumah dalam kategori sama di bandar besar. Oleh itu, penilaian yang lebih fleksibel perlu diperkenalkan bagi menggambarkan realiti sebenar ekonomi rakyat.
Selain itu, ketelusan dalam mekanisme pengkelasan amat penting untuk memastikan rakyat memahami asas sesuatu dasar. Kekeliruan mengenai siapa yang benar-benar layak menerima subsidi hanya akan menghakis keyakinan masyarakat terhadap pelaksanaan dasar awam. Kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka kaedah, indikator dan data yang digunakan dalam menentukan kategori T20, M40 dan B40 agar tidak timbul salah faham atau persepsi tidak adil.
Hakikatnya, pelaksanaan subsidi bersasar bukanlah satu langkah yang salah. Dari sudut pengurusan fiskal negara, ia mampu mengurangkan pembaziran dan memastikan sumber negara digunakan dengan lebih berkesan. Namun, keberkesanan dasar ini sangat bergantung kepada ketepatan sistem pengkelasan yang digunakan. Jika sistem tersebut lemah atau tidak mencerminkan realiti, dasar yang baik boleh bertukar menjadi sumber ketidakpuasan rakyat.
Kerana itu pentingnya, pengkelasan T20 diteliti semula secara lebih mendalam sebelum pelaksanaan subsidi bersasar diperluaskan secara menyeluruh.
Keadilan sosial hanya dapat dicapai apabila dasar kerajaan mengambil kira realiti kehidupan rakyat secara sebenar, bukan hanya bergantung kepada angka pendapatan semata-mata.
Pendekatan yang lebih seimbang, telus dan berasaskan konteks kehidupan sebenar amat penting bagi memastikan dasar ini benar-benar memberi manfaat tanpa menimbulkan ketidakseimbangan sosial. -UTUSAN
DR. LUQMAN MAHMUD
Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










