KETIKA dunia memberi tumpuan kepada konflik geopolitik seperti perang di Iran, satu aspek penting sering terpinggir, iaitu kesihatan persekitaran.
Pergolakan dalam sektor tenaga bukan sekadar isu ekonomi dan keselamatan tetapi turut memberi kesan langsung terhadap udara, air dan kesejahteraan manusia.
Dalam dunia yang saling bergantung, gangguan bekalan tenaga di satu rantau boleh mencetuskan kesan berantai sehingga dirasai di negara seperti Malaysia.
Konflik di kawasan pengeluaran minyak dan gas boleh mencetuskan kebakaran, letupan dan kebocoran bahan api. Keadaan ini melepaskan bahan pencemar seperti PM2.5, sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke atmosfera.
Bahan ini meningkatkan risiko penyakit pernafasan seperti asma, jangkitan paru-paru dan penyakit kronik. Lebih membimbangkan, angin boleh membawa pencemaran ini merentasi sempadan dan menjejaskan negara lain yang tidak terlibat secara langsung.
Selain udara, air turut menerima kesan besar. Tumpahan minyak dan kebocoran bahan kimia mencemarkan sungai dan laut serta merosakkan ekosistem akuatik. Apabila manusia mengambil ikan atau hasil laut yang tercemar, bahan toksik boleh masuk ke dalam tubuh dan meningkatkan risiko keracunan serta penyakit jangka panjang.
Krisis tenaga global juga memaksa negara mencari sumber alternatif secara tergesa-gesa. Banyak negara kembali menggunakan arang batu dan diesel yang lebih mencemarkan.
Pada peringkat komuniti, penggunaan generator dan pembakaran bahan api meningkat untuk menampung keperluan harian. Keadaan ini menambah pencemaran udara dalaman dan mendedahkan masyarakat kepada karbon monoksida serta partikel halus yang berbahaya.
Dalam masa sama, krisis tenaga turut memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial. Kenaikan harga bahan api meningkatkan kos sara hidup dan memberi tekanan kepada isi rumah.
Tekanan kewangan ini turut menjejaskan kesihatan mental apabila kebimbangan dan ketidaktentuan hidup semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Dari sudut yang lebih luas, peningkatan penggunaan bahan api fosil juga mempercepatkan perubahan iklim. Pelepasan gas rumah hijau meningkat dan menyumbang kepada pemanasan global. Keadaan ini meningkatkan risiko strok haba, penyakit bawaan vektor seperti denggi serta mengancam bekalan makanan dan air bersih.
Situasi ini menunjukkan kebergantungan kepada bahan api fosil memberi kesan besar kepada kesihatan persekitaran dan kestabilan global.
Oleh itu, negara perlu mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro bagi mengurangkan pencemaran serta meningkatkan daya tahan terhadap krisis masa hadapan. Pada masa sama, pemantauan kualiti udara dan air perlu diperkukuh dengan teknologi moden dan penglibatan masyarakat.
Konflik geopolitik dan krisis tenaga membuktikan keselamatan tenaga tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan persekitaran. Gangguan dalam sektor ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi tetapi turut mengancam kesihatan manusia dan kelestarian alam.
Justeru, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan tenaga, kesihatan dan alam sekitar. –UTUSAN
NUR AZALINA SUZIANTI FEISAL
Ketua Pusat, Pusat Daya Tahan dan Strategi Iklim,
Management and Science University (MSU)










