DALAM era digital dan ledakan perdagangan dalam talian hari ini, pengguna semakin terdedah kepada pelbagai risiko seperti gajet rosak, produk berbahaya serta perkhidmatan yang mengelirukan.
Namun, ramai masih tidak menyedari mereka sebenarnya mempunyai hak yang dilindungi oleh undang-undang dan pelbagai mekanisme penguatkuasaan.
Pengguna tidak seharusnya membiarkan diri mereka terus ditindas atau diperdaya oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Setiap pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan produk yang selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan atau nyawa. Ini termasuk barangan elektrik, makanan, kosmetik dan pelbagai produk lain yang berada di pasaran.
Jika sesuatu produk didapati berbahaya, pihak berkuasa boleh mengarahkan produk tersebut ditarik balik bagi melindungi keselamatan orang ramai.
Selain itu, pengguna juga berhak memperoleh maklumat yang benar dan tepat mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan. Peniaga tidak boleh membuat iklan palsu, memberikan maklumat mengelirukan atau menjanjikan sesuatu yang tidak setimpal dengan kualiti sebenar produk. Ketelusan maklumat amat penting supaya pengguna dapat membuat pilihan secara bijak dan tidak mudah tertipu.
Dalam keadaan tertentu, pengguna turut mempunyai hak untuk membuat tuntutan atau mendapatkan pampasan sekiranya produk yang dibeli rosak, gagal berfungsi atau tidak seperti yang dijanjikan.
Pengguna boleh menuntut pembaikan, penggantian atau bayaran balik mengikut keadaan dan jenis kerosakan yang berlaku.
Perlindungan ini diperkukuhkan lagi melalui undang-undang seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang bertujuan melindungi pengguna daripada penipuan, produk cacat serta amalan perdagangan yang tidak adil.
Jika berlaku sebarang pertikaian, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau membawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pengguna tidak harus berdiam diri apabila ditipu atau terdedah kepada produk berbahaya. Kesedaran terhadap hak pengguna dan keberanian mengambil tindakan mampu memastikan peniaga lebih bertanggungjawab serta mewujudkan pasaran yang lebih selamat dan adil untuk semua. –UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










